TIMBALAN Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli mendakwa UMNO sudah tidak tahu bagaimana mahu menjawab dan menyelesaikan isu-isu membelenggu rakyat di negara ini.
Bercakap dalam ceramah di Jelajah Ayuh Malaysia Parlimen Rembau di sini pada Ahad, bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, bagi menutup kelemahan itu UMNO terpaksa 'kitar semula' isu perkauman dalam kempen sebagai jalan mudah untuk menang dalam pilihan raya.
"Dia (UMNO) tiada idea dan malas nak berdepan dengan rakyat dan akhirnya ambil jalan mudah kata jika rakyat mengundi selain UMNO dan Pas, maka negara ini akan diambil alih oleh orang bukan Islam.
"Apabila diambil alih, mereka akan jual semua harta negara terutama milik Islam.
"Saya ini bukan Melayu ke? Kalau saya rasa tak betul, saya akan sebut," soalnya.
Difahamkan, isu perkauman turut sama digunakan parti dalam Perikatan Nasional (PN). Presiden PAS contohnya cuba menutup kelemahan mereka yang gagal memastikan RUU355 lulus dengan melontar fitnah kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) bahawa kononnya DAP “pro komunis”.
Berbeza dengan Pemimpin HARAPAN, kebanyakan ceramah mereka banyak berkisar isu kepentingan rakyat dan masa depan negara, ia termasuk isu kenaikan harga barang dan usaha memerangi rasuah serta ketirisan dalam kerajaan.
Sementara itu, Rafizi dalam ucapannya juga menyifatkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini adalah paling sukar untuk dijangka kerana rakyat sudah bijak menilai.
Oleh sebab itu katanya, rakyat perlu diberi penerangan sebaik mungkin tentang tanggungjawab mereka untuk memilih kerajaan dan pemimpin yang diharapkan boleh mengubah keadaan.
"Sekarang ini tiada lagi zaman letak songkok (calon), orang kata boleh menang dan untuk PKR bertanding di Rembau, ia bukan satu tugas yang mudah.
"Tapi saya tahu pengundi selepas 2018 tahu yang kuasa itu ada pada mereka," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, Aminuddin Harun yang mengetuai negeri itu kini dilihat sebagai Menteri Besar paling popular dalam kalangan rakyat di negara ini.
Katanya, meskipun pada awal kemunculannya sebagai pemimpin nombor satu Negeri Sembilan diperkecilkan, namun beliau kini berjaya melakukan tugasnya dengan baik.
"Orang cakap dia hanya boleh jadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) saja bukannya Menteri Besar dan orang juga kata dia tiada aura untuk melawan Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan).Kini rakyat dah pandai menilai, kata Rafizi
"Tapi selepas empat tahun dan nak masuk lima tahun, Aminuddin sebagai Menteri Besar, dia antara Menteri Besar yang paling popular dengan rakyat di seluruh Malaysia.
"Inilah keadaannya bila kita melantik orang tidak rasuah dan bongkak. Walaupun pada awalnya kita tidak yakin, insya-ALLAH dia boleh buat kerja dengan baik," katanya dipetik.
0 Comments