Baru sekarang BN nak lantik TPM wakili Sabah Sarawak?



PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN) menyindir Barisan Nasional (BN) yang berkata mahu melantik wakil Sabah sebagai salah seorang daripada tiga Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Berucap pada program Jelajah Pakatan Harapan di Kota Kinabalu malam tadi, Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan mengapa cadangan itu baru diutarakan sekarang sedangkan ketika pentadbiran mereka sebelum ini isu dihadapi rakyat Sabah tidak diselesaikan.  

"Rakyat Sabah makan tak cukup, sebab tiada kerja, ada yang susah… ada peduli tentang TPM?
 
“Lepas itu semua bersorak (dengar cadangan tersebut). Apa ini?” soalnya.

Pada 4 September tahun lepas, Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng berkata, cadangan mewujudkan jawatan TPM yang mewakili wilayah Sabah dan Sarawak mungkin boleh direalisasikan jika HARAPAN berpeluang merebut kembali kuasa di peringkat Persekutuan.

Kemudian pada semalam, media pula melaporkan Presiden Umno dilihat 'menciplak' idea itu apabila berkata jawatan tiga TPM itu akan diwujudkan jika BN membentuk kerajaan Persekutuan pada PRU15 nanti.
 
"Cadangan ini dari dulu lagi sejak zaman Pakatan Rakyat, kita akan ada satu TPM dari Semenanjung, satu dari Sabah dan Sarawak," jelas Anwar.

Sementara itu menurut Anwar, Sabah dibebani isu yang lebih besar berbanding isu TPM, negeri itu tegasnya memerlukan dasar yang boleh membantu rakyat termasuk berkaitan peluang pekerjaan, isu harga barang, mutu pendidikan, kemudahan asas, kesihatan serta penjanaan ekonomi.

Sebagai sebuah negara yang merdeka, rakyat sepatutnya memiliki taraf kehidupan yang lebih baik termasuk pendidikan yang bermutu.
 
“Itu bukan isu besar (isu TPM) bagi saya. Isu besar ini ialah isu rakyat Sabah dan Sarawak. Merdeka 60 tahun tetapi (isu) api dan air pun belum selesai," jelas calon perdana menteri itu.

Jangan hanya beri jawatan tanpa selesai isu rakyat


Anwar ketika ditanya apakah gabungan itu akan mengekalkan cadangan jawatan dari Malaysai Timur itu jika gabungan itu menerajui kerajaan selepas PRU-15  berkata, buat masa ini pihaknya masih mengekalkan cadangan tersebut.


"Tetapi kalau ada perubahan, nanti kita akan bincang," katanya. 

Post a Comment

0 Comments