SEORANG Ahli Parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) mempersoalkan kewibawaan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi sebagai pemimpin.
Charles Santiago yang merupakan Ahli Parlimen mewakili pengundi Klang berkata, Ahmad Zahid hanya mementingkan dirinya sendiri apabila membuat kenyataan bahawa Barisan Nasional (BN) sanggup meredah banjir dan hujan lebat untuk berkempen jika Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 diadakan tahun ini.
Beliau turut menyelar Ahmad Zahid yang dakwanya hanya menumpukan untuk memenangi kuasa apabila tidak mengutarakan langsung mengenai bantuan atau usaha menyelamatkan nyawa sekiranya banjir berlaku semasa kempen pilihan raya.
"Ahmad Zahid sepatutnya menubuhkan pasukan banjir Umno untuk membantu orang ramai yang lari dari rumah akibat banjir seperti yang dilakukan oleh orang biasa, bukannya meminta orang ramai mengundi.
"Bagaimana individu (Ahmad Zahid) ini boleh dipercayai untuk memimpin negara?" soalnya dalam satu kenyataan.
Semasa majlis pelancaran Jentera Pemuda BN, di Stadium Titiwangsa baru-baru ini Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN itu berkata jentera mereka sanggup meredah banjir dan hujan lebat, jika PRU diadakan.
"Kita tengah tunggu tarikh keramat, namun kita tahu ada kekangan akhir tahun ini iaitu banjir, hujan lebat dan angin monsun Timur Laut tetapi kalau Perdana Menteri bubar masa banjir pun, kita sanggup redah banjir untuk bertanding," katanya sambil mengulangi gesaan supaya Ismail Sabri Yaakob segera membubarkan Parlimen.
Sementara itu Charles turut mendakwa tujuan Ahmad Zahid yang bersungguh-sungguh mahu pilihan raya segera diadakan termasuk ketika musim banjir bertujuan untuk menyelamatkan dirinya dari kes Mahkamah.
"Mengapa pilihan raya penting walaupun di tengah-tengah banjir dan penderitaan manusia jika bukan kerana memastikan Ahmad Zahid tidak disabitkan kesalahan dan sebaliknya digugurkan pertuduhannya jika Umno menang?' katanya.
Justeru tegas sekiranya ahli UMNO mengikut rancangan Presiden Umno itu, mereka seharusnya berasa malu dengan diri mereka.
"Tetapi jika mereka mempunyai sedikit kesopanan, mereka harus mencari pemimpin yang lain.
"Mereka tidak mengambil berat tentang kebajikan anda atau kehidupan anda. Tidak juga semasa banjir, seperti yang ditunjukkan oleh Ahmad Zahid dengan jelasnya," ujarnya lagi.
Sebagai rekod, Ahmad Zahid dalam kenyataan semalam menafikan mahu PRU diadakan semasa musim banjir, sebaliknya katanya, ia bagi menyatakan kesiapsiagaan selain memberi gambaran kepada Ismail Sabri bahawa jentera parti sanggup meredah segala cabaran.
BACA: Mahkamah dijangka tentukan kes Zahid Hamidi
Kenyataan Zahid sebelum ini dikritik ramai terutama pemimpin pembangkang yang menyifatkan apa-apa usaha mengadakan pilihan raya ketika musim banjir akan menyusahkan orang ramai dan perbelanjaan agensi kerajaan.
Kenapa PRU segera sangat penting untuk Zahid? |
Zahid kini sedang berdepan 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).
Selepas tiga tahun turun naik mahkamah, nasibnya dijangka diketahui hari ini, sama ada dibebaskan atau diperintah bela diri.
0 Comments