Bob Lokman telah tiada


PENULIS
lirik terkenal, Bob Lokman, meninggal dunia di kampung halamannya di Kubang Kerian, Kelantan hari ini.

Difahamkan, Bob Lokman atau nama sebenarnya, Mohd Hakim Lokman, 58, menghembuskan nafas terakhir jam 3 petang tadi akibat komplikasi jantung

Adiknya, Nazir Hakim Lokman, 32, dipetik laporan Berita Harian mengesahkan perkara itu dan memaklumkan jenazah dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk dimandi dan dikafankan.

Jenazah dijangka dikebumikan selepas solat Isyak di Tanah Perkuburan Islam Pulau Hilir Kubang Kerian.

Sejak beberapa tahun lalu, penulis lirik puitis termasuk lagu popular Pada Syurga Di Wajahmu dan Taman Rashidah Utama itu dilapor mengalami masalah kesihatan.

Pada 8 April lalu Bob dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Rawatan Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Sasmec@IIUM) di Kuantan, Pahang kerana mengalami masalah cepat penat.

Pada 21 April lalu, Bob berpindah ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut.

Namun, akibat kekangan kewangan dialami, Bob hanya mendapatkan rawatan selama tiga hari di IJN dan keluar dari hospital serta balik ke Kelantan pada 24 April lalu.

Sebelum ini, Bob pernah menjalani pembedahan memasukkan alat Implantable Automatic Cardioverter Defibrillator (IACD) untuk menstabilkan denyutan jantungnya di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, pada awal Disember 2020.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 58 tahun
Pada 22 Jun lalu kesihatan penulis lirik Isabella itu dilaporkan semakin merosot apabila tahap penggunaan jantungnya dilaporkan hanya tinggal 10 peratus.
 
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Relawati Daud dan tujuh cahaya mata.

Post a Comment

0 Comments