Mahkamah dijangka tentukan kes Zahid Hamidi esok


MAHKAMAH TINGGI dijangka akan memutuskan sama ada Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi akan diperintah membela diri terhadap 40 dakwaan menerima rasuah pada Jumaat ini.

Keputusan itu setelah hakim Yazid Mustafa selesai mendengar keterangan 18 saksi dan menyemak 107 eksibit dalam kes tersebut.

Zahid yang merupakan ahli Parlimen Bagan Datuk  berdepan 33 tuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) sebagai menteri dalam negeri ketika itu bagi tujuan menyambung kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali pusat sehenti di China dan sistem visa luar negara (VLN) serta mengekalkan kontrak pembekalan sistem bersepadu itu.  

Dia juga berdepan tujuh lagi tuduhan iaitu memperoleh SGD1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Franc Swiss dan USD15,000 daripada syarikat sama berhubung tugas rasminya.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Seri Satria di Presint 16, Putrajaya, dan di Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Peguam A Srimurugan dipetik laporan media berkata, Zahid akan dibebaskan tanpa dipanggil pembelaannya jika hakim mendapati pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie.

“Bagaimanapun, Zahid akan diperintahkan membela diri jika hakim mendapati pendakwaan telah membuktikan semua elemen pertuduhan,” katanya.

Timbalan Ketua Pendakwa Raya, Raja Rozela Raja Toran dalam prosiding sebelum ini berkata Zahid menerima rasuah secara ansuran bulanan antara 2014 dan 2018, sambil menambah Pengarah UKSB, David Tan telah menyimpan rekod semua pembayaran dalam lejar.

Keterangan yang dibawa oleh pihak pendakwaan tegasnya telah menunjukkan bahawa Zahid telah mendapatkan pelanjutan kontrak OSC dan VLN untuk UKSB walaupun pegawai kementerian berasa ragu.

Raja Rozela juga berkata, wang yang diterima adalah suapan bawah Akta SPRM, dan percubaan pihak pembelaan untuk mengklasifikasikannya sebagai derma politik tidak membantu tertuduh.

Menurutnya, unsur-unsur pertuduhan yang dirangka bawah Kanun Keseksaan juga telah berpuas hati kerana Zahid mempunyai urusan perniagaan dengan UKSB yang merupakan kontraktor dilantik kementerian.

Adakah Zahid bakal ikut jejak Najib dan Rosmah?
Bagaimanapun, peguam utama Zahid, Hisyam Teh Poh Teik, berhujah bahawa anak guamnya adalah subjek pendakwaan terpilih dan peguam negara, yang juga pendakwa raya, tidak bertindak adil.

Katanya, ahli politik dan penjawat awam lain turut menerima wang daripada UKSB tetapi tidak didakwa.
 
Timbalan Pendakwa Raya, Xander Lim yang membantu Raja Rozela sementara itu memberitahu mahkamah bahawa perbicaraan Zahid telah dilakukan secara adil dan tertuduh diwakili oleh peguam cekap dan diberi hak untuk menyoal balas semua saksi pendakwaan.


Post a Comment

0 Comments