Rasuah punca hasil mahsul lesap, negara mundur - Sultan Perak


RASUAH
menjadi punca rakyat tidak mendapat perkhidmatan sepatutnya, menjadi punca ketirisan khazanah negara dan pengagihan kekayaan tidak seimbang di negara ini, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Semasa melancarkan buku ‘Korupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu; Perlunya Disegerakan Transformasi Moral Etika’ hasil tulisan Mohd Kamal Hassan di Shah Alam hari ini, Banginda juga bertitah bahawa jenayah itu juga mengakibatkan pembangunan tidak lestari, pencemaran alam sekitar, membantutkan pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelabur asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga serta mendorong berlakunya ketidakstabilan politik.

“Banyak negara dianugerahi rahmat Ilahi dengan pelbagai sumber kekayaan, tetapi kerana rasuah ada yang terbenam dalam kemelut kemunduran dan tertimbus dalam lumpur kemiskinan. Kekayaan negara disalah guna – hasil mahsul lesap.

“Akibatnya, kemunduran terus melanda, kemiskinan terus merebak. Apabila tidak ada kesungguhan untuk membanteras rasuah, perlakuan rasuah akan tumbuh melebar…lalu diterima sebagai norma dan meresap menjadi budaya, akhirnya memusnahkan sesebuah negara bangsa,” titah baginda seperti dilapor Bernama.

Dalam titahnya juga Baginda Sultan menegaskan bahawa daripada 180 negara yang dinilai Transparency International, Malaysia jatuh daripada kedudukan ke-57 dengan skor 52 pada 2020, ke kedudukan ke-62 mencatat skor 48 pada tahun lepas.

Baginda turut menyatakan rasa gusar apabila kini Malaysia dikelompokkan dalam kumpulan dua pertiga negara yang mencapai skor di bawah 50.

Justeru tegas Baginda, masyarakat wajib bersifat berani mengakui realiti bahawa amalan rasuah sedang berlaku pada skala yang membahayakan berdasarkan teguran berulang kali yang terkandung dalam laporan Ketua Audit Negara dan pelbagai penemuan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

“Kita tidak boleh memandang ringan, bersifat leka, memilih melakukan penafian, memikirkan segala justifikasi – bersilat dengan segala helah mahu menidakkan kewujudan ‘gajah’ rasuah di hadapan mata.

“Bilangan aduan serta rungutan yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, subjek yang terkandung dalam surat layang, berita yang terpapar dalam media dan isu yang diuar-uarkan dalam media sosial, hendaklah dijadikan cermin serta dianggap petunjuk kepada situasi rasuah yang berlaku.

Masyarakat perlu berani memerangi rasuah
“Malah jalan raya berlopak, longkang tersumbat, bangunan runtuh, bumbung bocor, pencemaran alam, penerokaan haram, rumput dan taman yang tidak terurus, masing-masing mempunyai bahasa tersendiri, menyampaikan mesej akan standard tadbir urus yang sedang berlaku,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah bahawa negara juga memerlukan lebih ramai murabbi (pendidik) untuk tampil ke hadapan secara berani menggemakan mesej memerangi rasuah kerana golongan ini mempunyai peranan yang amat penting untuk mendidik dan menyuburkan kesedaran kerohanian serta moral.

Post a Comment

0 Comments