PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemergian tokoh ulama terbilang dunia, Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi sebagai satu kehilangan yang amat menyedihkan untuk dirinya.
Anwar, melalui hantaran di Facebooknya sebaik berita pemergian Sheikh Yusuf tular di media massa berkata, seluruh dunia amat berdukacita di atas kembalinya ke rahmatullah sarjana Islam itu.
"Kehilangan salah seorang mujaddid ulung dunia Islam sepanjang abad lalu ternyata mengesankan umat.
Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi adalah sahabat dan tokoh rujukan saya sejak zaman mahasiswa ketika memimpin gerakan Islam.
"Beliau sentiasa menyeru kepada aliran wasatiyyah dan menentang keras aliran ghuluw dan mutaa'ssibin," kata Anwar.
Ketua Pembangkang itu juga berkongsikan hubungan dengan Sheikh Yusuf yang sering diundangnya ke negara ini sewaktu menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri dan ketika berdepan pelbagai cabaran ketika menjadi pembangkang.
"Doa dan surat yang sering diutus tatkala dalam kesulitan begitu mengesankan dan memperteguh semangat dan idealisme saya dalam perjuangan.
"Saya secara peribadi amat merasai kehilangannya, dan sumbangan serta legasi yang ditinggalkan ternyata membekas dalam setiap sanubari kaum Muslimin.
"Semoga Allah SWT memberi tempat dan ganjaran yang teristimewa buat beliau," tambahnya.
Sheikh Yusuf dilapor menghembuskan nafas terakhir pada usia 96 tahun di Qatar semalam pada usia 96 tahun.
Sepanjang hayatnya, Allahyarham yang memiliki nama penuh Yusuf bin Abdullah bin Yusuf bin Ali al-Qaradawi itu telah menghasilkan lebih 120 buah buku termasuk naskhah perundangan Islam serta menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa.
|
Syeikh Yusuf meninggal pada usia 96 tahun |
Sejak kerajaan pimpinan Ikhwanul Muslimin di Mesir ditumbangkan melalui tindakan tentera pada 2013, bekas ketua bagi Kesatuan Ulama Sedunia itu hidup dalam buangan di negara Teluk.
0 Comments