AMK K'tan pula mahu SPRM siasat Nik Abduh

PENGARAH strategik Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kelantan mempersoalkan apakah Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz sengaja menjadikan majlis bekwoh (kenduri) kesyukuran rakyat dianjurkannya sebagai cara 'menghalalkan' dia mendapatkan khidmat pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk majlis persendirian keluarga.

Mohd Afiq Ayob melontar soalan itu susulan kenyataan Ahli Parlimen Bachok itu yang disiar media bahawa majlis pada 24 Sept lalu bukan sekadar majlis perkahwinan  dua anaknya tetapi turut melibatkan jamuan rakyat dan majlis kesyukuran keluarga besarnya.

"Adakah penganjuran majlis bekwoh kesyukuran Keluarga Besar Nikmatilah itu sekadar smokescreen semata-mata untuk menggunakan kemudahan kerajaan dan mendapatkan perkhidmatan secara percuma sedangkan sebenarnya tujuan utama adalah majlis perkahwinan untuk kedua-dua anaknya?" soalnya dalam kenyataan semalam.

Terdahulu, tular surat permohonan bertarikh 20 Sept daripada Nik Abduh kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BI) menggunakan kepala surat Ahli Parlimen untuk memohon 'kerjasama' untuk kesyukuran sempena perkahwinan anaknya.

Dalam surat itu, Nik Abduh yang merupakan bekas Ketua Pemuda PAS meminta perkhidmatan pengurusan sisa pepejal, kerusi meja, hiasan bunga dan bantuan penguat kuasa lalu lintas bagi melancarkan majlis itu. kesahihan surat itu diakui Yang Dipertua MPKB, Rosnazli Amin.

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan susulan timbul kebimbangan mengenai salah guna kuasa kerana Ahli Jawatankuasa Kerja PAS itu menggunakan kepala surat rasminya sebagai Ahli Parlimen Bachok dalam permohonan berkenaan.

BACA:
Guan Eng gesa SPRM siasat Nik Abduh

Semalam Nik Abduh mengakui menerima bantuan bukan sahaja daripada PBT terbabit, malah beberapa agensi kerajaan yang lain antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Dipetik laporan media, Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) itu menganggarkan sekitar 8,000 tetamu termasuk Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin; Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob Yakob dan timbalannya Mohd Amar Abdullah, serta kepimpinan PAS pelbagai peringkat telah hadir.

"Lebih 30 kawah gulai telah dinikmati bersama selain juadah yang lain. Alhamdulillah..,” katanya di Facebook.

Sementara itu Mohd Afiq dalam kenyataannya mengingatkan Nik Abduh bahawa seseorang ahli parlimen memikul amanah dan tanggungjawab yang amat besar untuk memastikan setiap sen wang rakyat yang dikutip kerajaan perlu dibelanjakan secara berhemat.

Wang tersebut, tambahnya, bukan untuk digunakan atas kepentingan peribadi seperti majlis kenduri.

Beliau turut membandingkan era pentadbiran bekas Menteri Besar, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dihormati kerana memiliki rekod pentadbiran begitu bersih semasa menyandang jawatan tersebut antara 1990 hingga 2013.

"Beliau sering kali menegur dan menekankan nilai-nilai akhlak serta akidah, dan tidak boleh sama sekali berkompromi dengan sebarang korupsi atau salah guna kuasa.

Mohd Afiq ingatkan tanggungjawab wakil rakyat
"Aspek urus tadbir negara yang baik mesti kita sentiasa tekankan. Kita sepatutnya bangkit melawan rasuah, bukan mendorong ataupun melibatkan diri dalam perbuatan jijik itu," katanya.
 
Sehubungan itu beliau menggesa siasatan dijalankan bagi menentukan sama ada wujud sebarang unsur salah guna kuasa berhubung permohonan mendapatkan kemudahan bagi majlis perkahwinan anak-anak wakil rakyat itu.

Post a Comment

0 Comments