Rafizi rasa bingung bila Ismail dan Muhyiddin gaduh macam 'budak tadika'


TIMBALAN PRESIDEN
KEADILAN Rafizi Ramli secara sinis berkata, beliau merasa “keliru dan bingung” dengan perbalahan terbuka antara Ismail Sabri Yaakob dan Muhyiddin Yassin.

Dipetik laporan media, bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, ketika kedua-duanya saling salah menyalah antara satu sama lain, mereka sebenarnya mendedahkan kelemahan mereka sendiri.

“Kita ada kerajaan yang diketuai oleh Ismail, kemudian kita ada bekas perdana menteri, yang juga sebahagian daripada kerajaan (blok), tetapi mereka bercakaran satu sama lain.

“Ironinya ialah kerana mereka menuding jari antara satu sama lain, mereka sebenarnya menuding jari kepada kerajaan,” katanya selepas hadir ke satu program di Kuala Lumpur semalam.

Menyifatkan kedua-dua pemimpin itu “bergaduh seperti kanak-kanak kecil di tadika”, Rafizi berkata pertelingkahan antara pemimpin kerajaan itu sewajarnya secara tertutup terutama negara sedang melalui tempoh yang “sangat kritikal” dari segi ekonomi.

Pertelingkahan sesama pemimpin kerajaan jelasnya hanya akan mengurangkan keyakinan pelabur asing, seterusnya boleh menimbulkan masalah terhadap ringgit yang sudah terjejas.

“Kekuatan ringgit berkait dengan sebahagian besar aliran masuk dan keluar portfolio asing, atau pelaburan langsung asing (FDI). FDI memberikan keyakinan jangka pendek dan sederhana dalam ekonomi dan tadbir urus.

“Seperti mana saya mahu, mereka terus bertikam dan ‘membaling batu’ antara satu sama lain, kita ada negara yang dipertaruhkan. Saya ingin menasihatkan mereka supaya ‘bertengkar’ secara tertutup,” katanya.

Muhyiddin yang merupakan Presiden Bersatu sebelum ini berkata, sekiranya Ismail tidak dapat menguruskan ekonomi dan negara dengan baik, pilihan raya umum perlu diadakan supaya rakyat dapat memilih kerajaan yang berkebolehan.

Pemimpin berkelahi, pelabur lari
Dia merujuk kejatuhan ringgit, inflasi yang meningkat dan iklim ekonomi semasa telah melanda rakyat Malaysia dengan teruk.

Menjawab kenyataan itu, Ismail pula berkata, jika kerajaan dikatakan gagal mengurus negara, bermakna Muhyiddin juga gagal dalam peranannya sebagai penasihat kerajaan melalui Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Post a Comment

0 Comments