PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN) Terengganu Raja Bahrin Shah menyifatkan desakan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi supaya pilihan raya umum diadakan tahun ini termasuk ketika musim tengkujuh sebagai mempunyai motif tertentu.
Melalui satu kenyataan, bekas timbalan menteri itu membidas Zahid dengan berkata, tidak ada kerajaan yang waras di mana-mana negara seluruh dunia akan mengadakan pilihan raya pada musim banjir kerana mengutamakan keselamatan rakyatnya.
Pilihan raya pada musim banjir itu jelasnya hanya membuka salah guna kuasa dan bakal memberi kelebihan kepada pihak kerajaan.
"Apa yang Zahid ingin peroleh sebenarnya adalah kelebihan secara tidak adil dan salah guna kuasa menggunakan segala kemudahan jentera kerajaan seperti helikopter, bot dan lori untuk memudahkan mengangkut pengundi mereka pada hari mengundi nanti.
“Pada masa sama, pengundi parti-parti pembangkang akan terkandas dan tidak keluar mengundi.
“Apakah keutamaan yang akan diberi dalam penggunaan bot ketika itu nanti? Apakah bot akan digunakan untuk menyelamat mangsa atau bot itu akan digunakan untuk membawa rakyat ke pusat-pusat pengundian?” soalnya.
Beliau turut meyelar kenyataan Ahmad Zahid yang mendakwa bahawa HARAPAN takut menghadapi PRU15 pada musim banjir.
Menjawab dakwaan itu, Raja Bahrin berkata HARAPAN lebih mementingkan keselamatan orang ramai dari melotarkan cadangan tidak masuk akal sedangkan kerajaan mempunyai tempoh selesa sehingga penggalnya berakhir selepas pertengahan tahun hadapan.
Raja Kamarul Bahrin turut menyelar tindakan kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob yang dilihat lambat bertindak ketika banjir besar berlaku di Lembah Klang pada tahun lalu.
Jelasnya, gerak kerja yang tidak teratur dengan pemimpin ambat turun padang meninjau rakyat yang kesusahan menyebabkan rakyat mengadu kepada pemimpin parti pembangkang.
“Dalam situasi banjir biasa di kawasan bandar pun ia gagal ditangani dengan baik, apatah lagi jika hendak buat PRU15 di kawasan terjejas banjir yang terletak jauh di pedalaman.
“Mengapakah nyawa rakyat harus diperjudikan dengan begitu murah, kerana kita mengetahui musim banjir besar biasanya berlaku akhir tahun terutama di Kelantan dan Terengganu sedangkan tempoh pilihanraya masih panjang untuk diadakan pada tahun depan.
Mengapa 'kalut' sangat nak pilihan raya? |
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memberi peringatan sekiranya PRU ke-15 dilaksanakan pada November, kemungkinan rakyat bakal berdepan banjir besar kerana angin monsun timur laut aktif ketika itu.
0 Comments