TIMBALAN Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli menzahirkan rasa aneh bagaimana hantaran Facebook Najib Razak yang dipenjarakan banyak menyentuh keadaan semasa di luar penjara.
Dipetik laporan Malaysiakini, Rafiz berkata, tulisan-tulisan di laman sosial milik bekas perdana menteri itu mengambarkan dia mempunyai akses bebas kepada dunia luar juga tidak menggambarkan keadaan kesihatannya yang dikatakan 'sangat teruk'.
Rafizi turut mempersoalkan apakah dakwaan kononnya Najib mendapat layanan istimewa seperti di katakan beberapa pihak sebelum ini adalah benar.
“Saya keliru. Rakyat diberitahu bahawa kesihatan Najib tidak baik, tetapi sebaliknya dia nampak macam sihat dan malah boleh buat hantaran di Facebook,” katanya.
Dipetik dari laporan portal itu Rafizi berkata, dia pada mulanya enggan mengulas mesej yang tersebar itu kerana tiada nama penulis.
Bagaimanapun mesej di Facebook Najib pada Isnin yang mengulas pendekatan KEADILAN untuk mendekati pengundi atas pagar – menarik perhatiannya.
"Najib boleh berhujah bahawa hantaran di media sosial itu mungkin dibuat oleh pentadbirnya.
“Bagaimana dia sampaikan mesej kepada pentadbir Facebooknya, lebih-lebih lagi bagaimana dia tahu apa yang saya cakap semasa pelancaran jentera pilihan raya KEADILAN pada Ahad lalu?
"Najib tidak sepatutnya mempunyai interaksi dengan dunia luar," kata laporan itu.
Najib dihantar ke Penjara Kajang pada 23 Ogos lalu, Najib kemudian dilapor berdepan masalah ulser perut dan darah tinggi.
Pada 14 September lalu peguamnya Muhammad Shafee Abdullah memberitahu bahawa ahli Parlimen Pekan itu pernah berada dalam keadaan kritikal, malah menyifatkannya seperti “bom jangka”.
Najib kemudian dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur minggu lepas dan diberi sijil cuti sakit selama dua hari.
Sebelum ini ada dakwaan tular di media sosial kononnya nama Najib tidak dimasukkan dalam pangkalan data Jabatan Penjara Malaysia, bekas presiden Umno itu juga didakwa diberi layanan istimewa termasuk tidak ditempatkan di dalam sel penjara, sebalik ditempatkan dalam sebuah rumah pegawai dalam di Penjara Kajang.
Jabatan Penjara menafikan semua dakwaan tersebut.
Yang terbaharu, wujud pula dakwaan melibatkan
pengubahsuaian ruang penjara untuk Najib dan rancangan untuk membawa
bekas Perdana Menteri itu ke Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) bagi
memudahkannya menerima tetamu dan mendapat kemudahan orang kenamaan
(VIP).
Banduan tak layak dapat layanan istimewa |
Selain Rafizi,
Pengerusi DAP, Lim Guan Eng mendesak kerajaan perlu memberikan penjelasan
yang kukuh tentang dakwaan itu susulan ketika ini timbul persoalan dalam
kalangan masyarakat negara ini berhubung layanan diterima Najib.
“Kita juga tidak tahu benar atau tidak (layanan istimewa) tetapi, pihak berkuasa kena jawab. Di laman Facebooknya sentiasa ada hantaran baharu dan kita tahu hantaran tersebut mesti dibuat oleh pentadbir akaun berkenaan,” katanya.
0 Comments