Apa Najib buat di pusat 'pemulihan' soal Ahli Parlimen

 


AHLI PARLIMEN Klang, Charles Santiago, mempersoalkan apakah keperluan Najib Razak dirawat di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) kerana sakit ulser dan darah tinggi dihadapinya.

Dipetik laporan Malaysiakini, Charles berkata tindakan memindahkan Najib dari Penjara Kajang ke HRC menimbulkan banyak persoalan yang perlu dijawab oleh Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin - yang menyelia penjara - dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau yang juga seorang peguam menegaskan jika Najib diberi lebih banyak kebebasan daripada memenuhi keperluan sebagai seorang banduan semasa di HRC, ini pada asasnya melanggar peraturan penjara.

"Saya akui kenyataan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya Najib diberikan penjagaan kesihatan terbaik, tetapi adakah yang terbaik bermakna melanggar undang-undang?" soalnya menurut laporan itu.

Charles turut mengingatkan kerajaan bahawa tindakan menggunakan sistem kesihatan untuk  memendekkan tempoh Najib di penjara seperti didakwa telah meletakkan pegawai kesihatan awam dalam "kedudukan yang sangat sukar" untuk bertindak bertentangan dengan kehendak mereka.

Semalam Jabatan Penjara Malaysia mengesahkan Najib Razak sedang mendapatkan rawatan dan pemantauan lanjutan HRC.

Mereka memaklumkan banduan itu akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara sebaik sahaja pihak pakar perubatan HRC atau HKL memberikan pelepasan perubatan ke atasnya.

Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

Beberapa hari lalu tersebar di media sosial dakwaan mengatakan layanan istimewa diberikan terhadap Najib – yang dirujuk dengan nama 'Kod Merpati'.

Dakwaan itu antaranya membabitkan pengubahsuaian ruang penjara untuk Najib dan rancangan untuk membawa dia ke Hospital Rehabilitasi Cheras bagi memudahkannya menerima tetamu dan mendapat kemudahan orang kenamaan (VIP).

Baru-baru ini, persoalan dimana sebenarnya Najib berada dibangkitkan Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu menzahirkan rasa aneh bagaimana hantaran Facebook Najib Razak yang dipenjarakan banyak menyentuh keadaan semasa di luar penjara.

BACA:
Najib tak sepatutnya ada interaksi dengan dunia luar

Rafizi berkata, mesej di Facebook Najib pada Isnin yang mengulas pendekatan KEADILAN untuk mendekati pengundi atas pagar – menarik perhatiannya.

Banduan tegasnya tidak seharusnya mempunyai interaksi dengan dunia luar.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii memberi amaran kepada kerajaan supaya doktor yang merawat Najib tidak ditekan dan mesti dibenarkan menjalankan tugas mereka secara profesional.

Beliau yang mempengerusikan Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai kesihatan, berkata walaupun banduan perlu diberikan hak penjagaan kesihatan, namun tiada sesiapa pun harus mendapat layanan istimewa.

"Semua keputusan perubatan harus dibuat semata-mata atas pertimbangan perubatan, dan bukannya pertimbangan lain," katanya dipetik

Semakan mendapati HRC adalah kemudahan pemulihan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) yang memberikan perkhidmatan kepada pesakit selepas peringkat akut sesuatu penyakit atau trauma.

Kemudahan hospital itu merangkumi penjagaan, rawatan dan sokongan diperlukan untuk membolehkan pesakit berdikari.

Jangan tekan doktor, biarkan bebas jalankan tugas
HRC menyediakan enam jenis pemulihan dengan perkhidmatan pertama ialah rehabilitasi Neuro iaitu rawatan kepada pesakit yang mengalami kecederaan otak atau saraf.

Mereka adalah pesakit angin ahmar, kecederaan otak (TBI), sklerosis berganda, penyakit Parkinson, radang saraf tunjang, radang otak, penyakit saraf dan ketumbuhan otak.

HRC turut menumpukan rawatan pesakit yang mengalami kecederaan saraf tunjang dan komplikasi akibat kemalangan jalan raya, jatuh dari tempat tinggi serta keganasan akibat pukulan.

 

 

 

Post a Comment

0 Comments