PAKATAN HARAPAN (HARAPAN) membentuk satu jawatankuasa untuk menjalankan rundingan dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang sebelum ini menyatakan hasrat menyertai gabungan itu secara rasmi.
Perkembangan itu dimaklumkan Majlis presiden HARAPAN melalui satu kenyataan selepas mesyuarat di ibu pejabat KEADILAN di Petaling Jaya, Selangor semalam.
"Majlis Presiden HARAPAN dalam mesyuarat hari ini telah meneliti dan membincangkan permohonan keanggotaan Muda serta hasrat PSM untuk bekerjasama secara rasmi.
"Oleh itu, Majlis Presiden hari ini bersetuju membentuk satu jawatankuasa bagi mengadakan rundingan dengan Muda dan PSM. Jawatankuasa ini dianggotai oleh seorang wakil dari setiap parti komponen PH," kata kenyataan itu.
Jawatankuasa itu dianggotai Naib Presiden KEADILAN Nik Nazmi Nik Ahmad, Setiausaha Organisasi DAP Steven Sim Chee Keong, Ketua Pemuda Amanah Mohd Hasbie Muda dan Naib Presiden Upko Ewon Benedick.
Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada sidang media sebelum ini memaklumkan parti itu bersetuju sebulat suara untuk menyertai HARAPAN sebagai antara parti komponen dalam gabungan itu bagi menghadapi PRU ke-15 seterusnya mengelakkan pertembungan.
PSM menyuarakan hasrat untuk kembali meneroka kemungkinan bekerjasama dan malah terbuka untuk bertanding menggunakan logo yang sama.
Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan berkata perbincangan tidak rasmi telah diadakan sejak sekian lama dan surat rasmi berkenaan perkara itu telah dihantar dua bulan lalu.
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa mengakui wujud sentimen penolakan kuat dalam KEADILAN berhubung hasrat Muda menyertai gabungan itu.
Namun jelasnya, permohonan parti Muda menyertai gabungan itu tidak seharusnya diketepikan secara melulu.
"Kita harus berlapang dada. Sentimen (penolakan) dalam KEADILAN tak mudah. Dia bagi contoh pemimpinnya, dulu mari kita lawan 1MDB (1Malaysia Development Berhad). Kemudian bangkit sokong (Tun Dr) Mahathir (Mohamad), tapi bila giliran saya tidak sokong saya.
"Tapi tidak semua jemaah MUDA. Orang boleh berubah, orang boleh taubat. Konklusinya, biarlah pimpinan (HARAPAN) teliti, bincang bawa dalam sidang, apa kebaikannya, apa kemungkinannya," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook dipetik laporan media berkata jawatankuasa itu dijangka akan memulakan rundingan secepat mungkin.Rundingan sebelum keputusan rasmi dibuat
"...(Rundingan dimulakan) Dalam masa satu, dua minggu akan datang, selepas itu (hasil rundingan) akan dibawa balik ke majlis presiden untuk diputuskan," katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat tersebut.
0 Comments