Jujurnya, saya tak boleh nak jawab soalan sesukar itu .
Jika soalan itu hanya sekadar bertanya “adakah YDPA melalui Lembaga Pengampunan boleh mengampunkan Najib? Soalan itu, secara relatif agak senang dijawab .
Ya, dari segi perundangan telah ada banyak kes duluan (legal precedents) yang menujukkan bahawa banduan yang dihukum oleh mahkamah telah diampunkan melalui pengampunan diraja.
Kuasa pengampunan itu ada dinyatakan secara jelas di bawah Perkara 142 Perlembagaan Persekutuan.
Jika kita lihat beberapa keputusan mahkamah pula, kuasa mengampun YDPA itu dikatakan ‘is a power of high prerogative of mercy’.
Dan jika tidak silap saya, Lord Diplock J ada menyatakan bahawa ‘mercy‘ itu tidak tertakluk kepada sebarang hak di sisi undang-undang.
Dalam bahasa inggeris, hakim itu habaq ‘mercy is not the subject of legal rights. It begins when legal rights end’.
Justeru itu, jika saya sekadar ditanya adakah YDPA boleh mengampunkan Najib, jawapan saya jika dari sudut undang-undang adalah ‘ya boleh’.
Tetapi, jika ditanya lagi ‘adakah Najib wajar diampunkan?’, saya mengaku saya tidak boleh nak jawab soalan itu.
Saya juga rasa adalah tidak wajar juga saya cuba mendahului YDPA dalam hal ini.
Paling minima yang saya boleh lakukan hanya sekadar mengemukakan beberapa senario atau kemungkinan yang sudah tentu tidak mengikat kuasa YDPA.
Ia sekadar faktor yang mungkin akan dipertimbangkan dengan sebaik mungkin oleh YDPA mengikut kebijaksanan YM Tuanku.
Senario yang mungkin YDPA akan pertimbangkan, pada hemat saya, adalah reaksi rakyat jika Najib ditakdirkan diampunkan.
Mungkin sahaja YDPA dengan kebijaksanaan tinggi baginda tidak akan pandang ringan melihat insiden seperti di Sri Lanka.
a) Dengan 9 orang hakim yang dilantik atas perkenan YDPA yang sebulat suara dan dalam satu suara yakin seyakin-yakinnya Najib bersalah, mungkin sahaja faktor itu juga akan diambil kira dengan sewajarnya oleh YDPA dan Lembaga Pengampunan.
b) Begitu juga saya yakin berkemungkinan besar YDPA juga akan mengambil kira ‘nature’ dan bentuk jenayah Najib iaitu sebuah kesalahan salah guna kuasa di bawah seksyen 23 Akta SPRM, tiga kesalahan pecah amanah di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan dan tiga kesalahan pengubahan wang haram di bawah AMLA dan semua itu dilakukan atas kapasiti dia sebagai mantan PM dan menteri kewangan!
c) Kes jenayah yang Najib terlibat bukan kes biasa. Ia melibatkan jenayah gergasi luar biasa yang ada kaitan dengan 1MDB iaitu mantan anak syarikat 1MDB.
Mengambil kira bagaimana kes jenayah yang ada kaitan dengan 1MDB ini telah dengan parahnya merosakkan ekonomi, nama dan reputasi negara, berkemungkinan besar YDPA , saya percaya tidak akan memandang remeh hal tersebut.
Adakah wajar Najib diampunkan? |
Ya, benar mungkin ada bertanya kenapa DSAI boleh pula diampunkan sebelum ini.
Untuk tujuan berhujah diandaikan kita menerima anggapan memang DSAI bersalah (untuk rekod tidak semua mahkamah putuskan DSAI bersalah). Adakah kesalahan DSAI ada melibatkan jenayah segergasi jenayah Najib yang 9 hakim puas hati Najib memang bersalah!
Saya percaya faktor itu juga mungkin akan diambil kira oleh YDPA .
Akhirnya ada yang berhujah dengan maxim ini ‘justice must be tampered with mercy’. Ya, benar.
Tetapi saya tertarik dengan kata-kata seorang hakim senior di India yang mengakui bahawa ‘justice must be tampered with mercy’ tapi hakim itu juga habaq ‘but mercy cannot subtitute justice’.
MOHAMED HANIPA MAIDIN ialah pengamal undang-undang yang dipilih menjadi Ahli Parlimen Sepang, beliau juga merupakan bekas timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri
Tulisan ini disalin dari siaran Malaysiadateline dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Kartelmedia
0 Comments