Pejabat Akmal Nasir dibakar lepas diancam bunuh

 


AHLI PARLIMEN Johor Bahru Akmal Mohd Nasir mendakwa dirinya menerima ugutan bunuh daripada seorang pemilik akaun Facebook.
 
Akmal berkata begitu selepas Pejabat Cabang KEADILAN Johor Bahru yang juga Pusat Khidmat Masyarakatnya di Larkin, Johor Bahru dibakar kira-kira 6 pagi Ahad.

Mengulas lanjut ugutan diterimanya, Akmal berkata, pada Khamis dan Jumaat lalu, individu itu yang mengugutnya meninggalkan satu mesej bertulis dan 27 mesej suara mengandungi ugutan berkenaan, bahasa kesat serta makian.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan tinjauan di lokasi, kejadian ini dipercayai perbuatan khianat dan sabotaj dengan terdapat lima tayar dikumpulkan di hadapan pintu pejabat sebelum api dinyalakan.

"Saya tidak pasti sama ada ugutan dan kebakaran itu melibatkan individu sama atau sebaliknya, namun untuk mengatakan kedua-duanya hanyalah kebetulan adalah sedikit pelik kerana perbezaan tempoh masa yang dekat," kata  Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN itu dalam satu sidang media di Johor Bahru hari ini.

Akmal memaklumkan kepada media, kebakaran itu telah mengakibatkan kerosakan antaranya pintu “roller shutter”, dua unit penyaman udara, dinding pejabat dan beberapa barangan lain.

Sehubungan itu jelasnya, laporan polis berhubung kejadian dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan.

Akmal terima ugtan bunuh di Facebook
Ketua Polis Johor Bahru Selatan Raub Selamat dipetik laporan Bernama mengesahkan menerima laporan berhubung ugutan bunuh dan perbuatan khianat membakar Pusat Khidmat Masyarakat itu.

Polis jelasnya menjalankan siasatan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau bahan letupan dengan niat hendak membinasakan rumah dan sebagainya manakala kes ugutan akan disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


Post a Comment

0 Comments