60 tahun laung 'hidup Melayu' semua dah kaya ke?



FAHAMAN perkauman sempit yang masih melingkari situasi politik di negara ini telah menyebabkan usaha membawa kemajuan yang adil kepada semua lapisan masyarakat sukar direalisasikan.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanat pada Konvensyen Pilihan Raya parti itu pada Sabtu berkata, semua pihak perlu menyedari bahawa politik tidak seharusnya menjadi tempat percaturan kuasa golongan elit tetapi sebagai medium untuk mengangkat martabat rakyat dengan adil.

Justeru KEADILAN tegasnya mahu berganjak daripada landasan yang lama oleh pentadbiran terdahulu dan memberi tumpuan terhadap pembangunan yang adil buat semua rakyat di negara ini.

"Kita harus berupaya dan berani beralih daripada landasan yang lama, agenda yang sama,

"Apabila kita sebut kemampanan atau sustanability, ia tidak bermaksud mempertahankan sistem yang ada. Kemampanan itu harus dilihat sebagai suatu amanah, menjamin dasar ekonomi, pastikan ada kelestarian pembangunan tanpa merosakkan.

"Kita bangga dengan pembangunan tetapi gaji dan upah pekerja begini, ramai hidup melarat, kos meningkat tetapi kita bicara tentang kadar pertumbuhan.

"Kemudahan dan insentif yang diberi kepada syarikat-syarikat besar kita sebut insentif tetapi orang miskin kita sebut subsidi. Mengapa dibezakan antara keperluan syarikat-syarikat konglomerat besar dan kecil?," katanya menyentuh dasar-dasar yang tidak adil buat rakyat.

Anwar turut membidas ideologi parti politik tertentu yang terus menagih sokongan rakyat dengan memainkan isu perkauman. Sedangkan Islam sendiri menegah umatnya bersikap assabiah (perkauman)

Tambahnya 'perang' (terhadap) konsep assabiah atau fahaman perkauman sempit itu dilakukan oleh Rasulullah SAW sendiri lebih 1,440 tahun dahulu.

"Tetapi sehingga hari ini kefahaman tentang apa erti keadilan, apa erti kemanusiaan, apa erti rahmah masih tidak dapat diperjelaskan kerana terpukau dengan faham perkauman.

"Apa ciri masyarakat jahiliah? Kalau kaum kita rasuah, kaum kita zalim, tak mengapa sebab dia dari kaum kita. Yang rasuah mesti kaum lain dan zalim mesti kaum lain.

M'sia mesti beralih dari landasan lama


"Cuba tanya pihak yang bercakap tentang memperjuangkan nasib Melayu, 60 tahun berkuasa, mana tanah rizab Melayu? Apa jadi dengan Felda? Apa jadi dengan veteran tentera? Apa jadi dengan anak-anak muda?Ada pendidikan tapi tiada pekerjaan... anak-anak muda dalam ekonomi gig?


"Majoritinya Melayu tetapi mudah dipatahkan oleh sentimen perkauman dan janji mereka," katanya.

Beliau turut berkata, terdapat keperluan untuk orang ramai menyokong masyarakat berbilang kaum, sambil menambah bahawa masa depan Malaysia bergantung kepada Melayu, Cina, India, Kadazan-Dusun, Iban dan kumpulan etnik lain.


Post a Comment

0 Comments