MAHKAMAH Persekutuan mengarahkan pihak pembelaan mewakili Najib Razak meneruskan rayuan utama bekas perdana menteri itu berhubung kes berkaitan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd pada Khamis ini.
Ia selepas panel lima hakim dipengerusi Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak sebulat suara permohonan Najib untuk menangguhkan pendengaran kes rayuan SRC International Sdn Bhd kepada tiga ke empat bulan lagi.
“Rayuan utama akan diteruskan pada hari Khamis ini pukul 9.30 pagi,” kata Tengku Maimun.
Lain-lain panel hakim dalam pendengaran hari ini adalah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan serta Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Peguam bela mewakili Najib, Hisyam Teh Poh Teik sebelum ini memohon pendengaran rayuan akhir Najib bagi mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya, ditangguhkan selama tiga ke empat bulan.
Bagaimanapun Tengku Maimun Tuan Mat berkata semua pihak sudah sedia maklum bahawa pendengaran kes ditetapkan pada 15 hingga 26 Ogos. Justeru, persediaan sepatutnya dibuat lebih awal.
Malah jelasnya, hak bagi perbicaraan yang adil tidak boleh ditangguhkan terlalu lama.
“Dalam perkara ini kita perlu ingatkan diri sendiri mengenai Arahan Amalan Ketua Hakim Negara, yang mengatakan bahawa kes-kes yang sebegini perlu diberi keutamaan.
"Realiti sebenarnya adalah dana awam yang agak besar akan dibazirkan sekiranya penangguhan diberikan dalam kes sebegini yang merupakan satu pilihan mudah.
“Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dan Kedaulatan Undang-undang menuntut perayu dilayan sama seperti tertuduh lain.
"Oleh itu, kami menyatakan sekali lagi bahawa walaupun perayu berhak mendapat haknya menukar peguam, dia tidak berhak membuat pilihan ini dengan mengorbankan mahkamah, pendakwaan atau keseluruhan sistem keadilan,” katanya dan menambah pihak pembelaan memohon penangguhan rayuan ini atas sebab mudah, bahawa mereka tidak bersedia.
Mahkamah tak benar rayuan Najib ditangguh lagi |
“Keadilan yang ditangguhkan dalam kes ini, adalah juga keadilan yang dinafikan bagi tertuduh yang lain,” katanya dipetik Bernama.
0 Comments