Pentadbiran 22 bulan tak wakili 'pandangan reform'


PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan selama 22 bulan gabungan itu mentadbir dengan diketuai Tun Dr Mahathir, ia dilihat tidak mewakili “pandangan reform” yang ingin dibawakan mereka.

Ketegasan itu dinyatakan Anwar selepas menghadiri seminar berkaitan ekonomi di Subang Jaya semalam.

“Seperti yang kita sebut yang memerintah itu tidak mewakili pandangan reform, jadi beberapa keputusan itu melanggar semangat reform yang kita nak bawa.

"Harus mengambil iktibar kelemahan pemerintahan 22 bulan dengan memikirkan hala tuju yang tidak “menyimpang daripada apa yang telah berlaku,” katanya.

Justeru bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap gabungan itu, HARAPAN tegasnya bersetuju mengubah suai logonya sebagai tindakan memadam “cerita lama”, menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Tidak sekadar itu, mereka juga telah bersepakat untuk menggunakan satu logo bagi menyanggah persepsi pihak luar bahawa gabungan itu “tidak bersatu” selain mengelak kekeliruan dikalangan pengundi.

“Ada orang kata kita berpecah, kalau ikut sentimen KEADILAN (mahu) guna logo KEADILAN tetapi kalau kita ikut perkembangan di Johor, seolah-olah kita berpecah.

“(Orang luar) nampak Anwar pengerusi HARAPAN tetapi mereka berpecah (soal logo), jadi saya kata baiklah kita bersetuju guna satu logo,” katanya.
 
“Jadi saya kata lebih baik lah kita bersetuju kepada satu logo dan semalam juga bersetuju logo diubahsuai supaya tak melambangkan ‘cerita lama’,” katanya.

Pentadbiran HARAPAN dibawah Mahathir dianggap lemah menjawab isu diutarakan ramai, ia antaranya berhubung kes kematian membabitkan seorang anggota bomba yang kemudian disensasikan pihak lawan.

Selain itu gabungan itu dikritik ramai apabila Mahathir menyatakan Malaysia akan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) di Perhimpunan Agung PBB berdasarkan syor yang dibuat menteri luar ketika itu, Saifuddin Abdullah.

Antara yang diingati rakyat adalah kenyataan Mahathir pada Julai 2018 yang mengingatkan bahawa manifesto koalisi itu bukan ‘kitab suci’ yang wajib dipatuhi dalam pelantikan speaker Dewan Rakyat yang mencetus kemarahan ramai.

Anwar kemudian menegaskan tidak bersetuju dengan pandangan ‘manifesto bukan kitab suci’ sebagai mana diutarakan Mahathir.

Menyifatkan kenyataan itu mewakili ‘order’ lama, Anwar menegaskan beliau tidak mahu mempertahankannya kerana ia bukan datang daripada kepemimpinan partinya.

HARAPAN akan keluar dari 'cerita lama'
“Sebahagian manifesto sudah dilaksanakan, tetapi sebahagian besar masih belum dilaksanakan. Tetapi yang parah bukan proses pelaksanaan, tetapi kenyataan bahawa ‘manifesto itu bukan kitab suci’.

“Walaupun manifesto itu dilengkapkan semasa saya berada di dalam penjara, tetapi beberapa prinsip utama yang kita sudah janji, maka kita harus ikhtiar untuk melaksanakannya.

"Tidak boleh kata manifesto bukan kitab suci, maka tidak boleh kita laksanakannya, tidak praktikal," kata Anwar dalam satu laporan media lain.


Post a Comment

0 Comments