Nasib 4 ADUN 'berpaling tadah' bakal ditentukan esok

 


NASIB empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang yang menang atas tiket Pakatan Harapan (HARAPAN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dan kemudian bertindak menyertai Perikatan Nasional (PN) bakal dibincangkan Jumaat ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dipetik laporan media berkata, isu itu yang akan dibawakan dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan bahawa peruntukan di bawah Enakmen Antilompat Parti diguna pakai Pulau Pinang adalah sah dan berperlembagaan.

"Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengalu-alukan keputusan sebula oleh Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan keputusan tersebut yang antara lainnya menyebut bahawa Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang tidak terbatal kerana ia tidak bercanggah dengan Perkara 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan

"Sehubungan itu, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan bermesyuarat pada hari Jumaat, 5 Ogos 2022 ini untuk membincangkan tindakan seterusnya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada 12 April lepas, Pesuruhjaya Kehakiman, Azizan Md Arshad membenarkan permohonan DUN Pulau Pinang dan Speakernya, Datuk Law Choo Kiang untuk merujuk beberapa persoalan kepada Mahkamah Persekutuan bagi membolehkan mahkamah itu mendengar serta memutuskan isu perlembagaan berkaitan enakmen antilompat negeri itu.

Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau perlu meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mempengerusikan panel tujuh hakim berkata mahkamah berpandangan bahawa sebaik sahaja seorang wakil rakyat menang atas tiket parti politik yang dipilihnya, ini bermakna beliau telah menggunakan hak berpersatuan dengan bertanding atas tiket parti politik itu.

"Sebaik berada di Parlimen atau DUN, sifat berpersatuan seorang wakil rakyat adalah berbeza kerana beliau kini tertakluk kepada parti politik yang telah dipilih untuk bertanding selepas menerima mandat daripada pengundi yang mengamanahkan jawatan itu kepadanya," katanya ketika menyampaikan keputusan itu pada prosiding secara dalam talian semalam.

Susulan keputusan itu, Panel itu turut mengarahkan hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang meneruskan perbicaraan kes tersebut selaras dengan penghakiman hari ini atau mengikut lunas undang-undang.

Apakah mereka akan diarah kosongkan kerusi?
Difahamkan DUN Pulau Pinang dan Speakernya sebelum ini membentangkan usul pada Oktober 2020 agar Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang) mengosongkan kerusi masing-masing dan pilihan raya kecil diadakan.
 
Empat ADUN iaitu kemudian memfailkan writ saman terhadap DUN Pulau Pinang dan Speakernya bagi mencabar usul berkenaan.




Post a Comment

0 Comments