MP gesa 'hukum' Timbalan Speaker kerana kelirukan dewan


SEORANG
Ahli Parlimen DAP menggesa Timbalan Speaker Rashid Hasnon diambil tindakan selepas didakwa mengelirukan Dewan Rakyat.

Ia berkaitan  “arahan” mengusir dan menggantung Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) selama dua hari iaitu 20 dan 21 Julai lalu yang kemudian didapati kembali untuk sesi petang dan disenaraikan sebagai salah seorang yang mengundi usul untuk melanjutkan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

“Rashid pada 26 Julai lalu mengatakan tentang Pasir Salak (Tajuddin), automatik dihalau dua hari termasuk hari kejadian iaitu pada 20 dan 21 Julai.

"Pada hari kejadian, Pasir Salak bukan sahaja masuk mengganggu sidang parlimen pada sebelah petang, malah beliau turut mengundi usul Sosma.

“Timbalan speaker telah mengelirukan Dewan apabila beliau berkata Pasir Salak telah dikeluarkan dari Dewan Rakyat selama dua hari.

“Apakah jenis penggantungan atau hukuman jika ahli parlimen sendiri tidak sedar dan dia dibenarkan masuk dan mengundi semula?” soal Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching pada satu sidang media di Dewan Rakyat semalam.

Menurut Nie Ching lagi, Nama Tajuddin juga ada dalam hansard pada muka surat 149, 150, 151, 152 dan 153 sehingga akhir agenda terakhir undian usul Sosma direkod.

“Tajuddin juga Ahli Parlimen ke-90 sokong usul membatalkan keputusan tolak lanjut tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Sosma,” tambahnya.

Tajuddin sebelum ini didakwa menggunakan perkataan lucah di Dewan Rakyat dan beberapa ahli parlimen pembangkang mahu pemimpin Umno itu dikenakan tindakan.

Ini bukan kali pertama Tajuddin mencetuskan reaksi balas terhadap kenyataan seksis di Dewan Rakyat.

Pada tahun 2016, dia berkata bahawa Teresa Kok (Pakatan Harapan-Seputeh) adalah satu-satunya wanita yang mempunyai "Kok".

Tajuddin tidak pernah meminta maaf atas kejadian itu, menegaskan bahawa dia hanya merujuk kepada nama wakil rakyat DAP itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto yang hadir pada sidang media itu menyatakan rasa kecewa terhadap Rashid.

Merujuk kenyataan Rashid bahawa kenyataan lucah itu tiada dalam Hansard, beliau berkata ia boleh menjadi duluan yang berbahaya, membenarkan ahli parlimen mematikan mikrofon mereka untuk mengeluarkan perkataan lucah sebelum meneruskan perbahasan.

"Jadi jawapan timbalan speaker (bahawa perkataan lucah itu tiada dalam Hansard), saya rasa amat mengecewakan.

Rashid Hasnon didakwa kelirukan dewan
“Banyak perkara lain yang kita hendak bahas tetapi ini penting dalam Dewan, ia mesti diberi keutamaan tertinggi oleh speaker kerana kegagalan timbalan speaker juga adalah kegagalan speaker dan kita tidak mahu perkara ini berterusan,” kata Kasthuri.

Beliau sebelum ini mendakwa terdapat sembilan saksi yang telah mendengar pemimpin Umno itu menggunakan perkataan “p*****k selepas mikrofon dimatikan.

Post a Comment

0 Comments