MAHKAMAH PERSEKUTUAN yang bersidang hari ini menolak permohonan peguam Hisyam Teh Poh Teik menarik diri daripada mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak dalam prosiding rayuan akhir kes penyelewengan dana syarikat SRC International Sdn Bhd.
Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai lima panel hakim ketika membuat keputusan itu berkata, Hisyam dalam permohonan itu gagal memberi alasan mencukupi.
“Kami sebulat suara berpendapat bahawa keadaan fakta semasa, peguam telah gagal memberikan sebab yang mencukupi.
“Oleh itu permohonan untuk menarik diri ditolak dan peguam kekal dalam rekod demi kepentingan keadilan,” kata Tengku Maimun.
Turut bersidang ialah empat panel hakim iaitu Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta tiga Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.
Hisyam pagi tadi sekali lagi merayu supaya diberikan masa yang wajar untuk melakukan persiapan sebelum mengemukakan hujahan rayuan.
Dia turut menyatakan hasratnya menarik diri jika mahkamah enggan menyemak semula permohonan bagi menangguhkan kes.
Sementara itu Tengku Maimun berkata Hisyam sebagai peguam mewakili Najib sepatutnya memfailkan afidavit menarik diri terlebih dahulu.
"Peguam tidak seharusnya meninggalkan begitu sahaja tanpa memberitahu mahkamah.
"Pada pendapat kami, kamu boleh mengendalikan kes ini dan kamu mempunyai banyak peguam yang tersedia," katanya lagi.
Tengku Maimun seterusnya memberi amaran kepada Hisyam tentang implikasi tindakannya.
“Kami telah memberikan alasan yang menyeluruh. Adakah kamu sedar bahawa sebagai mahkamah tertinggi kami mempunyai bidang kuasa sedia ada untuk melaksanakan keadilan, dan bidang kuasa kami adalah untuk memastikan mahkamah berfungsi?
“Adakah kamu menerimanya? Anak guam kamu tidak akan diwakili. Jika kamu menarik diri, kamu akan membiarkannya tanpa diwakili. Boleh kamu menerimanya?", soal Ketua Hakim Negara itu dengan tegas.
Hisyam menjawab dia menerima semua yang dikatakan oleh Hakim Tengku Maimun.Hisyam masih dianggap peguam mewakili Najib
Pada ketika ini tegas hakim lagi,, mahkamah masih menganggap Hisyam sebagai peguam Najib sehinggalah dia menarik diri mengikut prosedur dengan mengemukakan afidavit sokongan mengapa bertindak sedemikian.
“Sudah menjadi tanggungjawab mahkamah untuk melindungi hak orang yang dituduh, berlandaskan sistem kehakiman," jelas Tengku Maimun.
0 Comments