Kenapa desak pilihan raya saat isu rakyat lebih utama , soal Anwar


KETUA Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan beberapa pemimpin parti pemerintah yang mendesak supaya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan segera.

Bercakap pada satu majlis di kawasannya di Port Dickson semalam, Anwar menegaskan bahawa Memorandum persefahaman (MOU) antara kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dengan pembangkang yang diterajui Pakatan Harapan (HARAPAN) masih kekal dan terus berkuat kuasa.

"Persoalannya mengapa ada pihak mendesak untuk mengadakan pilihan segera?

"Jika satu-satunya alasan adalah untuk mendapatkan kemenangan hanya untuk menutup kes mahkamah mereka, maka ini tidak boleh dipertahankan. Ini bukan alasan untuk pilihan raya diadakan.

“Pilihan raya mesti diadakan untuk memperbaharui mandat rakyat dan bukan untuk menyelamatkan sesetengah pihak daripada disabitkan kesalahan,” katanya dipetik laporan Malaysiakini.

Beberapa pemimpin dalam Umno antaranya bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sedang berdepan perbicaraan di Mahkamah atas beberapa pertuduhan jenayah.

Sementara itu Anwar menegaskan klausa MOU yang telah tamat cuma melibatkan perkara pembubaran parlimen sebelum 31 Julai, sedangkan menurutnya terdapat beberapa perkara lain dalam perjanjian itu yang masih lagi belum dipenuhi kerajaan dan perlu ditunaikan.

Anwar sementara itu mengingatkan bahawa banyak isu rakyat yang wajar diutamakan berbanding mengadakan pilihan raya, ia termasuk soal ekonomi yang membebankan rakyat dan soal urus tadbir negara.

Namun begitu, Anwar berkata jika pilihan raya diadakan juga maka pihaknya telah sudah bersedia untuk menghadapi PRU15.

"Keutamaan kita ekonomi sekarang ini, rakyat terbeban, tanggungjawab kerajaan urus ekonomi dengan baik dapat ringankan beban rakyat.

Desak PRU awal, apakah ada niat tersembunyi?
“Isu yang belum selesai termasuk soal tadbir urus dan kegagalan mengawal kenaikan kos barangan.

“Kita tidak berpuas hati dengan cara kerajaan menangani kos sara hidup yang sememangnya membebankan rakyat. Sementara menteri meneruskan perbelanjaan boros mereka.

"Terlalu banyak kes dana awam disalahuruskan," kata Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu.

Post a Comment

0 Comments