BEKAS presiden Majlis Peguam Ambiga Sreenevasan berharap Ismail Sabri Yaakob yang merupakan naib presiden Umno tidak tunduk pada tekanan supaya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan segera.
Gesaan itu dibuat susulan gesaan yang dilihat semakin meningkat dari dalam Umno selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib Razak.
Menyasarkan kritikannya terhadap "panglima perang" (warlord) dalam Umno, Ambiga berkata Parlimen tidak sepatutnya dibubarkan hanya untuk "selamatkan tengkuk seorang, mungkin dua atau tiga individu".
"Para warlord ini tidak boleh dibenarkan mentadbir negara lagi.
"Mereka langsung tidak kisah mengorbankan negara dan rakyat hanya untuk melindungi segelintir individu. Dan mereka melakukannya dengan penuh angkuh dan rasa berhak. Mereka tak hormat Perlembagaan dan merasakan diri mereka melangkaui undang-undang,"katanya menurut laporan Malaysiakini.
Ambiga tidak merujuk sebarang nama secara khusus, namun jelas salah seorang individu yang dimaksudkannya adalah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang sedang berdepan sejumlah pertuduhan jenayah yang dilihat antara paling kuat mendesak agar PRU segera diadakan.
Mengulas lanjut desakan itu, Ambiga berkata melaksanakan PRU15 pada masa ini boleh dilihat sebagai langkah tidak bertanggungjawab.
"Orang sudah bosan melihat desakan tanpa henti agar ada yang dikecualikan daripada pelaksanaan undang-undang. Amat jelas para warlord ini tidak kisah kepada rakyat.
Warlord dalam Umno tak wajar diberi peluang |
"Jika pilihan raya diadakan ekoran kelakuan mereka, saya sejujurnya berharap mereka akan dihukum dan tidak akan dibenarkan kembali berkuasa lagi," kata Ambiga lagi.
0 Comments