Hentikan serangan kepada Ketua Hakim - HARAPAN


TINDAKAN polis menyiasat dan menangkap mereka yang membuat ugutan terhadap Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mendapat sokongan pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN).

Melalui satu kenyataan oleh Majlis Presiden, mereka menyatakan rasa terkejut dan kecewa dengan dengan kenyataan dibuat beberapa pemimpin tertinggi Umno baru-baru ini yang boleh ditafsirkan sebagai serangan terhadap badan kehakiman.

Malah serangan termasuk ugutan bunuh terhadap Tengku Maimun oleh kalangan penyokong Umno dan ‘cybertroopers’ yang semakin menjadi-jadi terutamanya apabila proses rayuan Najib Razak hampir tamat adakan keterlaluan.

“Ugutan mencedera atau membunuh ini adalah kesalahan-kesalahan jenayah di sisi undang-undang termasuk di bawah Kanun Keseksaan.

“Oleh itu, Pakatan Harapan menyokong kenyataan ketua polis negara bahawa mereka yang mengugut untuk mencedera atau membunuh ketua hakim negara akan disiasat dan dibawa ke muka pengadilan,” kata Majlis tertinggi itu dalam kenyataan.

Kenyataan itu di dikeluarkan bersama Presiden KEADILAN Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lok Siew Fook, dan Presiden Upko Wilfred Madius Tangau.

Sebagai rekod, Tengku Maimun mengetuai panel hakim Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan Najib Razak terhadap sabitan dan hukumannya dalam kes rasuah SRC International.

Semalam polis memaklumkan penahanan seorang lelaki berusia 30 tahun di sebuah rumah di Puchong, Selangor susulan ugutan yang dibuat terhadap Tengku Maimun.

Suspek disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan yang berkecenderungan menghasut, Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

HARAPAN kutuk ancaman kepada Tengku Maimum
Sementara itu Majlis Presiden turut menekankan bahawa kebebasan institusi kehakiman mesti dipertahan sepanjang masa, dan institusi tersebut wajib kekal konsisten sebagai salah satu tunggak utama dan tiang seri negara.

“Kami turut memberi peringatan tegas bahawa pimpinan parti-parti politik terutama Umno perlu menghentikan serangan-serangan ke atas institusi kehakiman dan membenarkan proses perbicaraan berjalan hingga ke penghujungnya," tegas mereka.

Post a Comment

0 Comments