Oleh: RAFIZI RAMLI | Saya berdoa supaya kebenaran akhirnya ditegakkan apabila perbicaraan akhir kes SRC bermula hari ini di Mahkamah Persekutuan.
Inilah tempat terbaik untuk Datuk Seri Najib Razak membentangkan fakta, bukannya di Facebook (FB) seperti yang dia buat selama ini. Di mahkamah ada peraturan yang mengatur penghujahan kita mengikut undang-undang, supaya kita tidak boleh berbohong dan putar alam ikut suka kita.
Saya selalu turun naik mahkamah semasa Najib berkuasa dan diteruskan pula semasa Pakatan Harapan (HARAPAN) berkuasa. Saya menang semua kes-kes saya (14 kes semuanya) berdasarkan hujah perundangan mengikut fakta.
Sebab itu bagi saya, bila ke mahkamah ini kita akan berani jika kita benar.
Semua kes saya melibatkan pembongkaran skandal-skandal kewangan kerajaan bermula NFC, 1MDB, Tabung Haji, MARA dan LTAT (Lembaga Tabung Angkatan Tentera). Malah, Najib dan Rosmah sendiri menarik balik saman mereka berhubung dakwaan saya yang dana negara diselewengkan sedang Rosmah bermewah membeli barang kemas mahal.
Jika kita ada fakta, maka mudah bila kita berdepan di mahkamah.
Cuma keadaan saya tidak sama dengan kes-kes Najib. Saya diheret ke mahkamah oleh kerajaan yang ingin menutup penyelewengan mereka yang menyebabkan berbilion wang rakyat hangus. Satu dunia tahu, siap dengan bukti fizikal seperti kondo-kondo, hartanah di Australia, keterangan pesara tentera yang lewat dibayar pencen dan pelaburan-pelaburan Tabung Haji yang hancur.
Kes Najib bersabit pencurian wang pencen rakyat dari KWAP (Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) )yang masuk ke akaun banknya, lalu dia berjoli sakan membeli barang kemas mewah, membayar kad kredit dan sebagainya. Bukti dari segi “money trail” cukup jelas dan dakwaan wang itu datang dari penderma Arab telah dibuktikan di mahkamah hanyalah pembohongan saja.
Sebab itu saya malu bila ada bekas pemimpin negara sebegini.
Kepada anggota Umno, dia beri arahan menjawab dan membalas setiap pendedahan saya dalam masa 3 jam. Sebab itu akhirnya semua pendedahan saya yang terbaru tidak dijawab, sebaliknya diputar dengan pelbagai tuduhan yang kononnya saya Raja Fitnah (supaya rakyat menolak mentah-mentah tanpa berfikir).
Di mahkamah pula, Najib mencari segala alasan untuk melambatkan kesnya. Di FB tangkas dalam 3 jam, di mahkamah kalau boleh 30 tahun pun lagi mahu dipanjangkan.
Di FB, dia serba tahu dan serba benar. Di mahkamah dia serba tidak tahu dan serba tidak ingat.
Dalam banyak-banyak perkara yang berlaku sejak 2018, antara yang saya paling banggakan ialah kehadiran hakim-hakim yang bukan saja jujur tetap CERDIK seperti YA Datuk Nazlan.
Beliau senior saya di MCKK dahulu (walaupun 10 tahun lebih senior dari saya), anak pengetua MCKK yang dikenali seorang yang pendiam dan cerdik dari zaman sekolah.
Beliau diterima dan lulus dari Oxford University, seterusnya mempunyai kerjaya yang cukup baik pada umur yang muda.
Tokoh yang begini sepatutnya kita sanjung dan jadi inspirasi kepada anak-anak muda, bahawa kita boleh berjaya dan dihormati tanpa perlu rasuah di negara ini.
Najib yang selalu memainkan sentimen Melayu, bila kantoi di mahkamah, menggerakkan kempen fitnah menuduh YA Dato’ Nazlan sebagai seorang yang terpalit dengan rasuah.
Ia diulang-ulang oleh anggota Umno yang mengundang dosa kering setiap hari.
Memfitnah saya dengan pelbagai tuduhan yang direka, itu boleh diterima kerana saya ahli politik.
Memfitnah YA Datuk Nazlan, anak Melayu terbilang yang mewakili jati diri orang Melayu, yang dihormati rakyat pelbagai kaum, adalah satu perbuatan terkutuk.
Saya berdoa supaya Allah melindungi hakim-hakim kita yang jujur dan adil. Sama-sama kita doakan supaya hakim-hakim yang jujur dipermudahkan urusan mereka dan kebenaran ditegakkan di negara ini.Di FB Najib serba tahu, serba tak ingat semasa di Mahkamah
Najib pula, apa lagi yang kamu mahu #SayaPutarJib kali ini di mahkamah tertinggi negara? Alasan apa lagi yang kamu fikirkan untuk disebarkan cyber trooper kamu?
Allah telah tetapkan segala-galanya dan Insya Allah ada hikmah dalam setiap yang berlaku.
RAFIZI RAMLI ialah timbalan presiden KEADILAN dan merupakan bekas Ahli Parlimen
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis, ia tidak semestinya mencerminkan pendirian Kartelmedia.
0 Comments