Bukti baharu dikemuka Najib cuba untuk lengahkan masa , kata DPP


PERMOHONAN
  Najib Razak untuk mengemukakan keterangan baharu dalam rayuan SRC International perlu ditolak, tegas Timbalan Pendakwa Raya Kanan V Sithambaram.

Merujuk bukti baharu cuba diketengah Najib melalui afidavitnya, Sithambaram berhujah bahawa Mahkamah Persekutuan harus menolak bukti itu yang hanya berdasarkan keterangan khabar angin atau 'hearsay'.

Bukti tambahan itu  mengenai apa yang dikatakan oleh tiga pegawai SPRM dan dua pegawai bank kepada suruhanjaya antirasuah itu semasa siasatan.

Pada prosiding hari ini, beliau memberitahu panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat bahawa afidavit Najib menunjukkan bahawa saksi yang didakwa ini tidak memberitahu Najib sendiri mengenai apa yang mereka maklumkan kepada SPRM.

“Saksi-saksi itu (apa yang mereka didakwa katakan seperti yang terkandung dalam afidavit Najib) adalah khabar angin, mereka tidak memberitahu perayu (Najib).

"Ia juga boleh dikatakan dengar cakap terhadap dengar cakap.

“Permohonan itu tidak disokong afidavit sepatutnya untuk mahkamah bertindak,” katanya sambil menambah permohonan bekas Presiden UMNO itu  merupakan penyamaran untuk memancing keterangan.

Di bawah undang-undang, 'hearsay' ialah laporan kata-kata orang lain oleh saksi, yang mahkamah biasanya tidak membenarkan ia diambil sebagai bukti semasa perbicaraan.
 

Melalui permohonan penyerahan bukti baru yang bertujuan untuk membatalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib dalam kes SRC, perayu mendakwa hakim perbicaraan Mohd Nazlan Mohd Ghazali berisiko berat sebelah kerana konflik kepentingan.

Pasukan pembelaan Najib mendakwa terdapat konflik kepentingan disebabkan Nazlan, yang merupakan hakim Mahkamah Tinggi ketika itu memegang jawatan sebagai peguam am di Maybank.

Perayu mendakwa bahawa bank komersial itu kemudiannya terlibat dalam pembentukan SRC, anak syarikat 1MDB ketika itu.

Najib disabit kesalahan oleh Nazlan pada 28 Julai 2020, atas tujuh tuduhan salah guna kuasa dan penggelapan dana RM42 juta yang dikaitkan dengan SRC International. Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Bukti baru diketengahkan Najib wajar ditolak
Pensabitan dan hukuman terhadap Najib itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Dis tahun lepas, namun ditangguh sementara menunggu rayuan beliau kepada Mahkamah Persekutuan selesai.

Perbiaraan bakal bersambung pagi esok.

Sekiranya Mahkamah Persekutuan menolak permohonan menyerahkan bukti baru, ia akan meneruskan untuk mendengar rayuan utama Najib bagi melepaskan dirinya dari sabitan kesalahan sebelum ini.

Post a Comment

0 Comments