Tiada 'khemah besar' tanpa Anwar, Amanah jawab Pejuang


PENDIRIAN Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang tidak mahu bekerjasama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di bawah ‘khemah besar’ dikritik Khalid Samad.

Khalid yang merupakan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) berkata,  pendekatan ‘khemah besar’ membawa maksud penyatuan semua parti pembangkang dengan matlamat utama mengalahkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pendirian Pejuang yang ditunjangi Tun Dr Mahathir Mohammad itu untuk tidak menerima Anwar tegas Khalid tidak selari dengan idea kerjasama antara parti pembangkang yang mahu diwujudkan.

“'Khemah besar' maknanya semua pembangkang bersatu dan bekerjasama. Kalau tak nak Anwar, bukan khemah besar lagilah.

“Kalau ingin kalahkan BN dan PN, semua mesti ketepikan kepentingan dan kecenderungan peribadi dan utamakan kepentingan negara.

"Kalahkan BN dan PN, itu yang utama!” tegas beliau menerusi ciapan di Twitternya pada Isnin.

Pada Ahad, Timbalan Presiden Pejuang,  Marzuki Yahya dilaporkan berkata, meskipun menerima pendekatan ‘khemah besar’ pembangkang, namun pihaknya tidak mahu menerima kepimpinan Anwar.

Semalam, Ketua Cabang KEADILAN Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan mempersoalkan apakah alasan kukuh Pejuang menolak kerjasama dengan Anwar.

Pengasas rangkaian kesihatan, SP Care Group Malaysia itu bertanya, apakah ada pihak bimbang kekayaan dimiliki mereka terdedah sekiranya Anwar dilantik perdana menteri.

Pendirian Pejuang itu turut mendapat perhatian penganalisis politik terkenal. Prof Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff melalui satu catatan persaraanya berkata, impian bersatu membentuk kerajaan tanpa Anwar seolah-olah satu mimpi.

Apa niat sebenar Pejuang tolak Anwar?
Parti pembangkang lain selain anggota Pakatan Harapan (HARAPAN) tegasnya terlalu muda dan tidak mempunyai kekuatan akar umbi yang kuat, dan bukan bersifat nation-wide parties.

Sebagai rekod, idea khemah besar merupakan pendekatan dikemukakan beberapa pemimpin di bawah gabungan Pakatan Harapan (PH) bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri antara parti pembangkang pada PRU akan datang.

Pendekatan untuk mengelakkan pertembungan lebih dua penjuru itu diusulkan kerana ia dilihat berjaya untuk menewaskan BN pada PRU14 lalu.

Post a Comment

0 Comments