Potong gaji menteri: penganjur berkeras teruskan himpunan


PENGANJUR bagi protes kenaikan kos sara hidup berkeras untuk meneruskan himpunan di luar Pusat beli belah Sogo jam 2 petang ini walaupun polis sudah memberi amaran supaya tindakan itu tidak diteruskan.

Pengasas bersama Undi18, Qyira Yusri dipetik laporan media berkata hak untuk berhimpun dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kami akan berpegang kepada nilai itu. Isu yang dibawa gerakan Turun Malaysia cukup penting untuk diketengahkan, justeru ia menjadi sebab mengapa kami akan meneruskannya,” katanya.

Semalam Ketua Polis Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya, berkata polis tidak menerima permohonan bagi penganjuran protes itu.

Dia berkata pihak polis akan mengambil tindakan terhadap peserta himpunan itu.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda Amanah Selangor Abbas Azmin, berkata tiada keperluan pemakluman notis diperlukan dalam akta berkenaan.

Malah mereka akan menggerakkan skuad keselamatannya demi memastikan tiada insiden tidak diingini berlaku.

"Kami tetap akan meneruskannya, rakyat “perlu lebih berani” tampil ke depan untuk menyuarakan kekecewaan mereka," kata Presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya Ooi Guo Shen sebagai respon kepada Noor Delhan

Sebelum ini, kumpulan penganjur yang menamakan diri mereka sebagai 'Turun' menyeru pelajar dan anak muda negara ini menyatakan suara mereka berhubung kenaikan harga barang.

Melalui satu kenyataan mereka melahirkan kekecewaan terhadap ahli politik yang gagal memahami realiti kehidupan di lapangan sehingga rakyat terbeban dengan peningkatan harga barangan.

Tambah mereka, walaupun pentadbiran Ismail Sabri Yaakob menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang diketuai Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa bersama empat lagi menteri, namun mereka beranggapan pasukan itu gagal menyelesaikan masalah inflasi di negara ini.

Semua lapisan kaum terkesan dengan inflasi
Justeru himpunan dirancang hari ini bukan sahaja untuk menuntut kerajaan bertindak mengawal harga barang, selain memastikan bekalan makanan cukup bagi semua rakyat.

Mereka turut mahu gaji menteri dipotong, pendekatan subsidi dikekalkan, bantuan tunai lebih besar kepada golongan memerlukan.

"Kita tidak mempunyai pilihan selain turun dengan satu suara supaya masalah ini tidak diremehkan oleh perdana menteri dan menteri-menteri lain," kata mereka dalam kenyataan yang disiarkan pada Khamis.

Post a Comment

0 Comments