Pejuang tolak Anwar sebab takut?, soal Dr Sathia Prakash


PENDIRIAN Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) yang menolak idea agar Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai pembangkang walaupun bersetuju dengan pendekatan 'khemah besar' dibidas pengasas rangkaian kesihatan, SP Care Group Malaysia.

Dr Sathia Prakash Nadarajan yang juga merupakan Ketua Cabang KEADILAN Hulu Selangor berkata, kenyataan oleh Timbalan Presiden PEJUANG Marzuki Yahya mengenai pendirian parti itu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang tidak berasas dan didorongi tujuan tertentu.

Dr Sathia mempersoalkan apakah pemimpin pejuang bimbang kekayaan mereka akan terbongkar jika Anwar menerajui kerajaan pusat.

"Kalau kita membaca wawancara, Marzuki tidak memberi sebarang sebab konkrit kenapa Anwar tidak boleh mengetuai pembangkang pada PRU15.

"Saya cabar Marzuki untuk memberi satu sebab realistik kenapa Anwar tidak boleh mengetuai pembangkang dan bakal perdana menteri pada PRU akan datang ini," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Sathia memberi pandangan bahawa perjuangan dibawa PEJUANG yang mendakwa kononnya mereka ingin memulihkan negara daripada gejala rasuah berbeza dari reformasi diperjuangkan oleh KEADILAN dan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Beliau mendakwa PEJUANG di bawah pimpinan Pengerusi Tun Dr Mahathir Mohammad melakukan usaha melawan rasuah secara 'terpilih' yang lebih cenderung dilihat sebagai dendam atau demi agenda peribadi.

Tak ada alasan kukuh untuk tolak Anwar


"Tetapi, agenda reformasi KEADILAN adalah membanteras rasuah secara menyeluruh. Tidak pilih kasih. Mencari pesalah sampai ke lubang cacing.


"Inilah punca Pejuang dan Mahathir terus menolak Anwar kerana takut kekayaan luar biasa pemimpin-pemimpin Pejuang akan terbongkar jika dia menjadi perdana menteri," katanya dipetik Malaysiakini.