Peguam hak asasi gesa polis mudahkan himpunan aman

PIHAK Polis digesa mengiktiraf dan memudahkan kebebasan berhimpun walaupun wujud dua keputusan bercanggah oleh Mahkamah Rayuan mengenai perhimpunan aman.

Syahredzan Johan yang juga peguam hak asasi manusia dipetik berkata, beliau kecewa polis masih mendesak penganjur mendapatkan permit untuk mengadakan pertemuan bagi membolehkan orang ramai meluahkan pendapat mengenai isu kepentingan awam.

“Sudah 10 tahun Akta Perhimpunan Aman dikuatkuasakan, tetapi polis masih mengambil pendekatan tradisional,” katanya dipetik laporan FMT.

Pandangan itu dinyatakan Syahredzan merujuk kepada tindakan polis memanggil beberapa peserta protes Turun Malaysia di Kuala Lumpur yang diadakan untuk menggesa agar harga barangan keperluan diturunkan selain tindakan menghalang Badan Peguam Malaysia daripada menjalankan perarakan “demi kebebasan kehakiman” juga di Kuala Lumpur baru-baru ini

Syahredzan berkata, undang-undang itu telah dipinda bawah pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk memendekkan tempoh notis 10 hari kepada lima hari.

“Sekalipun notis tidak diberikan, ia tidak menjadikan perhimpunan itu menyalahi undang-undang atau haram,” katanya menurut laporan itu.

Pada April 2014, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman, yang menjenayahkan kegagalan penganjur untuk memberikan notis 10 hari sebelum perhimpunan, adalah tidak munasabah.

Hakim Mah Weng Kwai berkata, ia bersamaan larangan berkesan terhadap perhimpunan spontan dan segera.

Katanya, hak untuk menganjurkan perhimpunan dan berhimpun secara aman hanya boleh disekat secara munasabah dan bukan dilarang, seperti yang ditakrifkan dalam Perkara 10(2)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga berkata, sebarang pelanggaran peraturan lalu lintas atau gangguan terhadap kegiatan perniagaan yang menjejaskan keselamatan awam boleh ditangani dengan sewajarnya oleh polis bawah undang-undang sedia ada, seperti Akta Pengangkutan Jalan dan Kanun Keseksaan.

Seorang lagi hakim, Ariff Mohd Yusof berkata, ketidakpatuhan memberi notis tidak boleh menjadi asas untuk pendakwaan kerana ia melibatkan hak asasi.

Hamid Sultan Abu Backer, yang bersara sebagai hakim tahun lepas, berkata peruntukan untuk menghukum atau tidak menggalakkan perhimpunan aman perlu segera dibatalkan memandangkan Malaysia menandatangani konvensyen antarabangsa mengenai hak kebebasan berhimpun secara aman.

Bagaimanapun jelas Syahredzan, satu lagi panel Mahkamah Rayuan sebulat suara memutuskan penganjur mesti memberi notis kepada polis sebelum tarikh perhimpunan. Beliau merujuk keputusan pada Oktober 2015 dalam kes Pendakwa Raya lwn Yuneswaran Ramaraj, bahawa Seksyen 9(5) Akta itu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Susulan itu jelasnya, undang-undang itu belum lengkap dan polis sepatutnya “tidak begitu bersemangat” menguatkuasakannya.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya dilapor media semalam memaklumkan bahawa pihaknya akan memanggil empat lagi individu yang dikenalpasti terbabit himpunan membantah kenaikan harga barang pada Sabtu lalu.

Keempat-empat individu berkenaan katanya akan diambil keterangan dalam masa terdekat bagi melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Sementara itu seorang lagi peguam,  Salim Bashir berkata, penguatkuasa undang-undang tertakluk kepada undang-undang seperti orang lain.

Syahredzan dakwa undang-undang telah dipinda
Beliau memberi amaran bahawa polis tertakluk kepada saman sivil kerana “kerajaan boleh menyaman dan disaman”.

“Polis tidak seharusnya menghalang orang ramai daripada menggunakan hak mereka melalui cara aman walaupun terhadap pihak yang berkuasa.

“Ironinya, pembayar cukailah yang akhirnya akan membayar ganti rugi apabila mahkamah menyampaikan penghakiman,” tambahnya.

Post a Comment

0 Comments