PERMOHONAN Najib Razak untuk mendapatkan khidmat Queen's Counsel (QC) atau Peguam Diraja dari United Kingdom, Jonathan Laidlaw bagi mewakilinya dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd ditolak.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dalam penghakiman berkata tidak ada keperluan untuk membawa masuk QC bagi mewakili Najib dalam rayuan akhir berkenaan kerana ia mampu dikendali peguam Malaysia.
Ahmad Kamal turut berkata bahawa Laidlaw gagal menunjukkan dia mempunyai kelayakan khas dan pengalaman khas untuk mengendalikan rayuan Najib dalam kes SRC.
“Saya berpendapat bahawa (permohonan) perlu ditolak kerana tidak ada isu rumit dan baru yang memerlukan kemasukan (interim) pemohon (Laidlaw).
“Pemohon telah gagal memenuhi syarat di bawah Seksyen 18(1) LPA (Akta Profesion Undang-undang 1976) bahawa bagi rayuan (SRC) dan sebab-sebab lain yang berkaitan, dia mempunyai kelayakan atau pengalaman khas yang tidak terdapat dalam kalangan peguam bela dan peguam cara di Malaysia.
“Saya bersetuju dengan hujahan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC), Badan Peguam Malaysia dan Jawatankuasa Peguam Kuala Lumpur bahawa rayuan itu boleh dikendalikan dengan cekap oleh peguam bela dan peguam cara tempatan,” kata hakim dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian semalam.
Pada 25 Januari lalu, Najib melalui Muhammad Shafee dalam sepucuk surat dialamatkan kepada Setiausaha Ketua Hakim Negara memohon supaya Najib dibenarkan untuk diwakili seorang QC iaitu peguam kanan paling senior dan berpengalaman dari United Kingdom.
Laidlaw memfailkan permohonan pada 31 Mei lalu supaya diterima masuk dan didaftarkan sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya di mana peguam Muhammad Shafee Abdullah mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan berkenaan.
Antara alasan dikemukakan Muhammad Shafee ialah peguam itu mempunyai kelayakan dan kepakaran yang tidak boleh didapati dalam kalangan peguambela dan peguamcara di negara ini.
![]() |
Peguam tempatan boleh kendali kes Najib |
Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari pada Ogos untuk mendengar rayuan terakhir Najib bagi membatalkan sabitan kesalahan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan RM42 juta daripada SRC.
0 Comments