SEBAHAGIAN dasar Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam isu pengangkutan dan kos sara hidup ketika gabungan itu mentadbir negara selama 22 bulan jauh lebih berkesan berbanding sekarang.
Pandangan itu dilontarkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa diwawancara Media Selangor baru-baru ini.
“Dua puluh dua bulan ada yang positif. Umpamanya bidang pengangkutan bawah Anthony Loke. Kita lihat pendedahan oleh menteri pertahanan, pertama kali orang tahu tentang kepincangan dan rasuah.
“Kita lihat cara (Datuk Seri) Saifudin Nasution Ismail menangani isu kos sara hidup juga jauh lebih berkesan,” katanya dipetik.
Ketika era pentadbiran HARAPAN, kerajaan ketika itu melancarkan pas My100 dan My50 bagi membolehkan pengguna pengangkutan awam Prasana menggunakan perkhidmatan tanpa had.
Dengan penjimatan sehingga RM100 sebulan atau RM1,200 setahun bagi kos perjalanan ke tempat kerja, ia bukan sahaja menggalakkan lebih ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, malah meringankan beban isi rumah.
Sementara, ketika era pentadbiran 22 bulan HARAPAN, isu kenaikan harga barang berjaya dikawal dengan baik apabila tidak berlaku kenaikan mendadak harga barangan termasuk ketika musim perayaan ketika itu.
Kejayaan kementerian diketuai Saifudin mengawal harga barangan ketika itu mendapat pujian dari rakyat.
Malah walaupun dilontar pelbagai tohmahan, HARAPAN dianggap telah mencapai kejayaan besar apabila berjaya meletakkan kembali pengurusan Tabung Haji (TH) ke landasan yang betul.
Sewaktu mengambil alih pentadbiran kerajaan TH difahamkan mengalami defisit, dengan tindakan dengan menukar pengurusan baharu dan memindahkan aset-aset rendah nilai TH ke Syarikat Bertujuan Khas (SPV), institusi pengurusan haji itu kembali berdaya saing.
Walaupun membangkitkan kejayaan dasar kerajaan ketika itu, Anwar turut mengkritik beberapa isu yang tidak ditangani dengan baik.
Menyentuh berkenaan Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum (Icerd), Anwar berkata ia sepatutnya perlu diperjelas dengan betul kerana wujud tanggapan perjanjian itu menekan Islam dan hak Bumiputera.
Katanya, ketika isu itu berbangkit, beliau sendiri meminta perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohammad merunding semula bagi mengelak kegelisahan rakyat terutama orang Melayu.
![]() |
Harga barang lebih rendah pada zaman HARAPAN |
“Tidak langsung fikir tentang perasaan, kegelisahan rakyat. Dia mungkin benar tapi penjelasan harus diberi dahulu. Jangan difikirkan kamu tahu dan dunia antarabangsa sudah terima,” katanya dipetik.
0 Comments