Apakah Sabah masih releven untuk kerajaan, soal Ahli Parlimen



SEORANG
Ahli Parlimen dari Sabah mempersoalkan sama ada negeri itu masih relevan di mata kerajaan Malaysia.

Ma'mun Sulaiman (Warisan-Kalabakan) melontar persoalan itu susulan tindakan speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun menolak usul dikemuka Ahli Parlimen Kota Belut, Isnaraissah Munirah Majilis bagi membahaskan isu rampasan aset Petronas bernilai AS$2 bilion melalui tindakan undang-undang oleh warisa kesultanan Sulu.

“Saya cuma ingin tanya kepada kerajaan Malaysia sama ada Sabah masih relevan tak kepada kerajaan Malaysia?

“Kenapa asal usul sabah selalu dinafikan tapi hasil kekayaan Sabah selalu diambil di bawa ke sini (semenanjung) untuk membangunkan persekutuan Malaysia.

"Namun Sabah tetap miskin, dibiarkan mundur dan keselamatan Sabah selalu diperolok-olokan,” katanya dalam sidang media yang turut dihadiri antaranya Azis Jamman (Sepanggar) dan Rozman Isli (Labuan).

Pada 12 Julai, waris kesultanan Sulu – yang menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia – merampas dua anak syarikat Petronas yang diperbadankan di Luxembourg.

Menurut Financial Times yang berpangkalan di London, ia melibatkan Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, yang dilaporkan bernilai AS$2 bilion.

Rampasan itu adalah sebahagian daripada tindakan undang-undang waris kesultanan Sulu pada 2017 untuk mendapatkan pampasan tanah di Sabah yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat British pada 1878.

Petronas walau bagaimanapun berkata kedua-dua aset itu sudah dilupuskan.

Tindakan Azhar menolak usul oleh Isnaraissah semalam mencetuskan kekecohan dalam Dewan.

Ahli Parlimen pembangkang menuduh Azhar mempunyai konflik kepentingan kerana abangnya Idris, bekas peguam negara, terlibat dalam perkara itu.

Mereka berhujah perkara itu mesti dibincangkan kerana mempunyai kaitan dengan kedaulatan negara.

Usul dikemukakan berkait kedaulatan negara
Sementara itu pada sidang media sama, Isnaraissah mempertikaikan adakah masih belum cukup aset Petronas yang dirampas oleh pihak luar sebelum kerajaan pusat dapat bertindak dengan lebih cekap.

“Apa yang saya mahukan adalah pendirian negara, ketegasan negara untuk kita lawan tuntutan ni habis-habisan untuk kali ni, (tapi usul) ditolak.

“Sebab itu saya tanya di Dewan…  Tak cukup lagi aset Petronas dirampas? Mahu tunggu apa yang hilang lagi?” soalnya.

Post a Comment

0 Comments