Tiang lampu: DBKL nafi, namun Lip Eng terus mahu jawapan

 


AHLI PARLIMEN
Kepong, Lim Lip Eng, terus mempersoalkan mengenai memberikan kontrak bernilai RM30.75 juta bagi menggantikan 200 tiang lampu pintar bersepadu milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Merujuk jawapan DBKL yang menafikan bahawa pihaknya memberikan kontrak bernilai RM30.75 juta kepada Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB), melalui Ennova Sdn Bhd bagi projek itu, Lip Eng berkata jawapan itu kini menimbulkan lebih banyak persoalan.

Beliau mahu tahu pihak mana yang membayar kos bagi kontrak itu dan siapa pula penerimanya.

“Adakah DBKL menafikan berlaku proses kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pelaksanaan kontrak bernilai RM30.75 juta bagi penggantian 200 tiang lampu di Lembah Klang?

“Adakah DBKL dan Suruhanjaya Sekuriti mendapatkan maklum balas lanjut daripada SCIB, syarikat senaraian awam bagi penjelasan?” soalnya.

SCIB dalam makluman kepada Bursa Malaysia, menyatakan syarikat itu diberikan kontrak berkenaan.

 DBKL dalam kenyataannya semalam berkata pihaknya melantik secara berperingkat 29 syarikat panel yang mempunyai lesen ‘network facilities provider’ (NFP) sejak 2013, bagi melaksanakan penggantian tiang lampu sedia ada kepada tiang lampu berintegrasi sistem pemancar telekomunikasi, di sekitar Kuala Lumpur.

Malah mereka menegaskan bahawa pihaknya tidak memberi kebenaran kepada mana-mana pihak ketiga untuk melantik SCIB atau mana-mana anak syarikatnya melaksanakan apa-apa kerja bagi pihak DBKL.

“Rasional pembinaan tiang lampu dwifungsi ini adalah untuk meningkatkan perkhidmatan telekomunikasi di Kuala Lumpur kepada rangkaian 5G selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menyiapkan infrastruktur ini di Kuala Lumpur secepat mungkin

“Dan segala kos penggantian tiang lampu ini ditanggung sepenuhnya oleh syarikat panel tersebut.”,” katanya.

Lip Eng bimbang kos projek terlalu mahal
Difahamkan tiang lampu dwifungsi itu merupakan tiang lampu jalan diintegrasikan dengan pemancar telekomunikasi.

Lip Eng yang merupaan Pengerusi Biro Aduan Awam DAP sebelum ini menyatakan kebimbangan berhubung kos kontrak terbabit yang dianggap terlalu besar bagi menggantikan 200 tiang lampu.

Berdasarkan kiraanya sebelum ini dianggarkan kos penggantian dan lain-lain bagi sebatang tiang lampu berkenaan adalah sekitar RM153,750.00
 

Post a Comment

0 Comments