KERAJAAN digesa memberi fokus sepenuhnya terhadap penambahbaikan kualiti sistem pengangkutan awam kerana ia lebih diutamakan oleh pengguna.
Peguam dan aktivis Syahredzan Johan berkata, pemberian perkhidmatan percuma bagi semua pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL adalah langkah baik, namun sistem pengangkutan akan menjadi lebih teruk sekiranya kekerapannya tetap sama.
“Isu sekarang adalah penyelenggaraan fasiliti, kerosakan serta kekerapan pengangkutan awam berkenaan.
“Meskipun langkah ini dapat menggalakkan lebih ramai orang untuk menggunakan pengangkutan awam, tapi kekerapan masih sama, masalah akan menjadi lebih teruk lagi,” katanya di Twitter.
Syahredzan sebelumnya mengulas pengumuman perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bahawa perkhidmatan MRT, LRT, BRT, Monorel serta bas RapidKL diberi percuma selama sebulan susulan perasmian projek MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu,
Sementara itu tegas Syahredzan, masalah utama kos hidup rakyat masih tidak dapat diselesaikan kerana rakyat tetap perlu membayarnya sebaik tempoh pemberian tambang percuma itu berakhir.
Malah masalah kesesakan masih berlaku di stesen LRT apabila pengguna terpaksa beratur selama tiga jam untuk menaiki pengangkutan terbabit.
Disebalik pujian, pengumuman Ismail mengundang kritikan ramai. Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Ewon Benedick mempersoalkan mengapa Ismail hanya menumpukan Kuala Lumpur sedangkan Sabah memerlukan peruntukan sama untuk membaik pulih jalan raya di negeri itu.
Warganet pula dilapor tidak berpuas hati dengan cara untuk menebus tambang percuma selama sebulan bagi perkhidmatan pengangkutan awam kendalian RapidKL dan KTM di Lembah Klang seperti diumumkan.
Dipetik laporan FMT, Misasagi Yuuya mempersoalkan cara tebusan perjalanan percuma yang disifatkannya tidak masuk akal.
“Perlu memuat turun aplikasi MyRapid Pulse untuk mengisi borang tinjauan lagi? Macam mana RapidKL tahu status kad Touch N Go saya untuk nikmati perjalanan percuma itu? Kenapa kami tidak boleh lengkapkan sentuhan masuk dan keluar kad pada setiap perjalanan tanpa tolakan kredit?” soalnya.
Max Lim pula mempersoalkan keperluan menyimpan resit untuk pengesahan sedangkan sistem terkini RapidKL boleh mengesan mana-mana individu yang mempunyai kad aktif.
“Mengapa masih perlu kemukakan resit sedangkan semua info telah tersedia dalam kad aktif?” soalnya.
Warganet, Ken Liew pula hairan kenapa pengguna dikenakan bayaran tambah nilai 50 sen untuk memperbaharui pas mereka.
“Kalau perlu lagi membayar 50 sen untuk mendapatkan pas berkenaan, adakah ia masih dikira perjalanan percuma?” katanya.
Ada juga warganet berpandangan pengumuman tambang percuma itu hanya langkah untuk meraih undi menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.
![]() |
Sistem pengangkutan perlu penambahbaikan |
Seorang lagi pengguna Twitter @atashaalina berkata, kerajaan hanya tahu “memberi benda percuma kepada rakyat” tetapi tidak mampu menyelesaikan isu penting yang lebih mendesak ketika ini.
0 Comments