BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu berhenti daripada terus menyalahkan pihak lain disebalik punca kejatuhan kerajaan ditunjangi Pakatan Harapan (HARAPAN) pada Feb 2020.
Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dipetik laporan BH berkata, Dr Mahathir yang merupakan bekas Pengerusi parti Bersatu itu perlu mengakui dan bermuhasabah bahawa HARAPAN yang menang pada PRU-14 lalu tumbang disebabkan tindakan beliau sendiri dan bukan disebabkan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Saya merujuk kenyataan Dr Mahathir terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Sekali lagi beliau (Mahathir) cuba mengaitkan orang lain atas kesilapan beliau sendiri yang menjatuhkan kerajaan HARAPAN.
"Dr Mahathir tidak sepatutnya menyalahkan orang lain untuk menanggung (kesalahan itu) terutama Anwar," katanya dipetik.
Tegas Abdullah Sani lagi, Anwar yang cuba dipersalahkan sebenarnya tidak punya sebarang jawatan dan kuasa eksekutif ketika berlakunya 'kelompangan kuasa' sehingga wujudnya komplot menumbangkan kerajaan HARAPAN ketika itu.
Jumaat, lalu dalam satu wawancara Dr Mahathir mendakwa Anwar sebagai punca kejatuhan pentadbiran HARAPAN.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, sokongan Ahli Parlimen HARAPAN yang memberi undi agar Anwar menjadi Perdana menteri telah menghalangnya mengangkat sumpah semula kejawatan itu sekali gus gagal menghalang Barisan Nasional (BN) dan UMNO daripada kembali menduduki kepemimpinan kerajaan negara ketika ini.
Untuk rekod, kejatuhan kerajaan HARAPAN disebabkan tindakan presiden Bersatu, Mahiaddin Md Yassin dan pengkhianatan beberapa pemimpin dari KEADILAN diketuai Mohamed Azmin Ali yang berkomplot dengan beberapa parti yang kalah pada pilihan raya lalu termasuk Umno dan PAS bagi membentuk sokongan mencukupi Ahli Parlimen bagi mengambil alih pentadbiran negara walaupun tanpa mandat rakyat.
Sementara itu Abullah Sani menegaskan sebagai seorang yang dianggap negarawan, Mahathir jangan bersikap semberono membuat tuduhan untuk melepaskan diri dan mengalihkan tuduhan kepada orang lain.Negarawan sejati tak tuding orang lain
"Mengapa buat kenyataan mengelirukan kerana umum mengetahui Dr Mahathir punca kerajaan HARAPAN runtuh dan ini terpahat sebagai catatan sejarah.
"Saya menyeru Dr Mahathir untuk bersikap jujur dan ikhlas dalam berpolitik," katanya.
0 Comments