SEORANG pemimpin kanan Pakatan Harapan (HARAPAN) menegaskan tiada kerjasama antara parti Pejuang dipimpin Dr Mahathir Mohamad akan diadakan sekiranya bekas perdana menteri itu enggan menerima Anwar Ibrahim.
Lim Guan Eng yang juga adalah Pengerusi DAP berkata, walaupun gabungan itu terbuka untuk berunding dengan parti pembangkang lain menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) namun rundingan dengan Pejuang mungkin terpaksa melupakannya ekoran pendirian Mahathir itu.
Guan Eng yang pernah dilantik Menteri Kewangan ketika pentadbiran Mahathir menegaskan bahawa Anwar kini adalah ketua bagi gabungan pembangkang terbesar itu.
“Pimpinan HARAPAN sekarang ialah Anwar, kami bersedia untuk bekerjasama dengan Mahathir, tapi dia tolak kerjasama dengan HARAPAN disebabkan Anwar pengerusi, jadi tak perlu kerjasama lagi. Begitu…mudah sahaja,” katanya dipetik FMT.
Mahathir baru-baru ini dilihat menyerang Anwar melalui satu wawancara dengan berkata Anwar sebagai punca mengapa dia tidak dapat sokongan mencukupi bagi dilantik semula sebagai perdana menteri.
Sementara itu Guan Eng turut membidas dakwaan kononnya kejatuhan HARAPAN pada 2020 adalah susulan kesilapan Anwar, sekali gus memberi laluan kepada Umno dan BN kembali mendominasi kerajaan sekarang.
Menyifatkan dakwaan sedemikian adalah salah dan tidak adil, Guan Eng menegaskan bahawa punca utama kejatuhan HARAPAN disebabkan Langkah Sheraton dengan dalang utamanya adalah (Presiden Bersatu) Muhyiddin Yassin dan Azmin Ali.Kenapa Tun M tak salahkan 'perampas'?
“Dia sepatutnya salahkan pengkhianat tersebut, bukan salahkan orang yang berpegang teguh pada jawatan partinya,” katanya.
0 Comments