PENGERUSI DAP Lim Guan Eng menggesa kerajaan dipimpin Ismail Sabri Yaakob mencari penyelesaian kepada masalah peningkatan kos sara hidup yang dihadapi rakyat ketika ini.
Mengkritik idea Naib Presiden Umno itu untuk melaksana semula semula cukai barang dan perkhidmatan (GST), beliau menegaskan bahawa ia hanya akan membebankan rakyat.
“Sama ada benar atau tidak kami belum pasti lagi, tapi sekarang bukan masa sesuai untuk kembalikan GST kerana ia ada kesan buruk terhadap rakyat.
“Masalah kos sara hidup tinggi seharusnya diberikan perhatian serius. Mengapa tidak ambil berat masalah masyarakat, sebaliknya membuat pertimbangan untuk menambah lagi cukai baharu,” katanya dipetik laporan FMT.
Sebagai rekod, pelaksanaan GST diperkenalkan ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) bawah Najib Razak dan ia dihapuskan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (HARAPAN).
Pelaksanaanya dianggap sebagai salah satu faktor membawa kepada kejatuhan pentadbiran BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
Sementara itu Guan Eng berkata, kerajaan sepatutnya mewujudkan dana untuk menstabilkan harga dengan segera bagi menangani kenaikan harga barang yang dihadapi kini.
“Kenaikan harga barang ini memang tidak dapat dihalang, tetapi sekurang-kurangnya boleh mengehadkan kenaikan harga dan inflasi kos makanan dan perniagaan yang meningkat.
“Jangan lari dan elak daripada penyelesaian masalah peningkatan kos sara hidup yang melanda rakyat sekarang,” katanya lagi.
Ismail menerusi wawancara khas bersama Nikkei Asia, di Tokyo baru-baru ini dilaporkan berkata, GST dilihat mampu mengembangkan pendapatan asas negara.
Jangan tambah lagi beban rakyat |
Majlis Presiden HARAPAN dalam satu kenyataan baru-baru ini menempelak cadangan itu. Selain melihat ia tidak munasabah dilaksana ketika rakyatterhimpit dengan isu kehidupan, mereka menegaskan tiada guna cukai dikutip dari rakyat sekiranya hasilnya kelak disalahguna bagi kepentingan kroni dan rasuah.
0 Comments