Anwar gesa Tommy Thomas juga cermin diri


PENGERUSI
Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim membalas kritikan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas supaya juga bercermin diri.

Gesaan itu dinyatakan Anwar sebagai mengulas kenyataan Thomas yang sebelum ini berkata Presiden KEADILAN itu perlu melihat cermin dan bertanya kepada dirinya sendiri mengapa masih belum menjadi perdana menteri.

“Jika dia mencadangkan fakta bahawa Anwar tidak berjaya (menjadi) perdana menteri, saya boleh beritahu dia saya akan menjadi perdana menteri jika saya berkompromi, ya kepada rasuah, ya untuk campur tangan mahkamah, maka saya akan menjadi perdana menteri. Tiada siapa boleh mempertikaikan itu, tetapi saya menolak.

"Adakah itu kegagalan, atau pada fikiran saya, pendirian berprinsip?" soal Anwar.

Anwar sebelumnya ditemui pemberita selepas menghadiri Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur semalam.

Mengulas lanjut gesaannya supaya Tommy turut bercermin diri Anwar berkata ketika menjadi Peguam Negara Tommy ada membuat kenyataan tidak bijak, malah juga "menyerang" bekas perdana menteri Tun Razak Hussein tanpa sebarang bukti.

Walaupun tidak menjelaskan secara terperinci, dipercayai ia merujuk kepada bahagian dari buku Thomas di mana bekas peguam negara itu mengaitkan Tun Razak dalam rusuhan 13 Mei 1969.

Banyak kelemahan dilakukan Tommy, kata Anwar
"Tommy Thomas harus juga melihat ke cermin kerana dalam masa dia ada menjalankan tugas dan dalam buku dia, unsur-unsur perkauman tebal, unsur-unsur menghina keupayaan pejawat awam termasuk AGC (Jabatan Peguam Negara), keseluruhannya yang saya sebut, masalah over-generalisation.

"Jadi ada juga kurang kebijaksanaan yang memerlukan dia melihat ke cermin. Kalau dia cakap kenapa Anwar kena tengok (cermin), saya okay, saya adil, saya boleh dengar kritikan," jelas Anwar.
 

Post a Comment

0 Comments