Sibuk kes mahkamah, eloklah Zahid berhenti jadi Presiden Umno

 


Oleh: SHAHBUDIN HUSIN | Selain Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyatakan kesediaan untuk berdepan dengan Ahmad Zahid Hamidi di mahkamah berhubung dakwaannya bahawa Presiden UMNO itu pernah meminta campur tangan beliau berkaitan kes mahmamah yang sedang dihadapinya, bekas Perdana Menteri itu juga bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap Zahid Hamidi.

Saman yang bakal dikemukakan oleh Tun Mahathir ialah berhubung dakwaan Zahid Hamidi ketika memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri sebelum ini bahawa nama sebenar bekas Perdana Menteri itu seperti mana tertera pada kad pengenalannya ialah Mahathir a/l Iskandar Kutty.

Zahid Hamidi mendakwa kad pengenalan biru Tun Mahathir yang tertulis nama sedemikian dihantar oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara kepadanya.

Menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah dan pembohongan daripada Zahid Hamidi, Tun Mahathir seterusnya mencabar Presiden Umno itu menunjukkan bukti mengenai status dirinya yang seolah-olah menggambarkan dirinya bukan seorang Melayu.

“Jika dia tidak meminta maaf dan menarik balik fitnah itu, saya akan ambil tindakan mahkamah,” tegas Tun Mahathir.

Maknanya sekarang, sementara Zahid Hamidi telah menyaman Tun Mahathir dan Tun Mahathir sedia berdepan dengan saman tersebut di mahkamah, bekas Perdana Menteri itu juga bakal menyaman Zahid Hamidi.

Sementara saling saman menyaman berlaku antara Zahid Hamidi dengan Tun Mahathir, Presiden UMNO itu juga turut menyaman Presiden Bersatu, Mahiaddin Md Yasin.

Saman itu berkaitan dakwaan Mahiaddin bahawa Zahid Hamidi pernah datang berjumpanya bersama timbunan agar campurtangan dalam kes mahkamah yang dihadapi Presiden UMNO itu.

Dalam dakwaannya, Mahiaddin berkata, Ahmad Zahid melawatnya selepas dia dilantik sebagai Perdana Menteri dengan membawa ‘fail bertimbun’ untuk diminta beliau campurtangan kes mahkamah yang sedang dihadapinya.

Saman Zahid Hamidi itu juga telah disambut kesediaannya oleh Mahiaddin dengan penyataan pembelaan telah pun dikemukakan kepada mahkamah.

Begitu juga dengan kes saman Zahid Hamidi kepada Tun Mahathir, penyataan pembelaan turut telah dikemukakan dengan antara lain Pengerusi Pejuang itu mendakwa, Zahid Hamidi telah menemuinya sebanyak lima kali untuk melobi agar kes mahkamah yang dihadapinya digugurkan.

Sementara itu, sebagaimana semua rakyat Malaysia sedia maklum, Zahid Hamidi ketika ini sedang berdepan dengan 87 pertuduhan terkumpul berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram sama ada melibatkan Yayasan Akalbudi mahupun visa imigresen.

Dicampur 87 pertuduhan sedia ada itu dengan dua kes samannya terhadap Tun Mahathir dan Mahiaddin serta besar kemungkinan disaman pula oleh Ahli Parlimen Langkawi itu, kecuali sedia meminta maaf dan menarik balik tuduhan yang pernah dibuatnya, Zahid Hamidi kini mempunyai kes mahkamah berjumlah 90 semuanya.

Shahbudin saran Zahid berhenti jadi Presiden UMNO
Adakah mana-mana presiden parti lain di Malaysia dan di dunia ini pernah ada kes mahkamah sebanyak itu?

Berapa lama beliau perlu mengambil masa untuk menyelesaikan semua kes jenayah dan saman sivilnya itu di mahkamah?

Maka, pesanan mesra untuk Zahid Hamidi, elok berhentilah sajalah sebagai Presiden Umno!

SHAHBUDIN HUSIN ialah penganalisis isu semasa, bekas wartawan di tahun 80an hingga 90an dan juga penulis buku.
 
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan ia tidak semestinya mencerminkan pendirian KartelMedia

Post a Comment

0 Comments