Mari 'cekik' Petronas sampai mati, Ahli ekonomi sindir Najib

 


GESAAN bekas Presiden Umno, Najib Razak supaya Petronas menyelamatkan Sapura Energy Bhd (SEB) yang bermasalah kewangan ditempelak seorang ahli ekonomi.

Nungsari Ahmad Radhi, mengingatkan semua pihak supaya jangan mengganggu Petronas - syarikat gergasi minyak negara itu.

“Anda mahu Petronas menyelamatkan vendornya? Mengarut! Pada masa yang sama, mereka mahukan dividen daripada Petronas.

“Siapa tahu, mungkin mereka akan dapatkan Petronas untuk membayar Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) nanti.
 
"Mari kita 'cekik' Petronas sampai mati,” kata menurut MFocus.

Najib semasa debat perdana bersama Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim pada Khamis lalu mencadangkan agar Petronas mengambil alih SEB bagi mengelak syarikat itu diisytiharkan muflis.

Tambahnya, Petronas mempunyai kepakaran untuk menggiatkan semula syarikat itu.

Ahli Parlimen Pekan itu juga mencadangkan agar SEB diberi pinjaman bank yang dijamin Kerajaan. 

Anwar pula mencadangkan audit forensik dijalankan terhadap syarikat itu bagi mencari punca kepada masalah dihadapinya.

Sementara itu ketika mengulas cadangan Najib, Nungsari berkata Petronas harus menyumbang kepada Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk menjamin kewangan negara untuk generasi akan datang.

Sebaliknya, tambah beliau, Kerajaan memasukkan dana KWAN untuk membeli vaksin COVID-19 kerana Putrajaya tidak mempunyai wang ketika itu.

“Nampaknya kita terus berbelanja tanpa mengambil kira perlu menabung untuk generasi akan datang. Masanya akan tiba apabila kita tidak lagi mempunyai dana hasil petroleum,” ujar Pakar ekonomi veteran itu.

Dipetik laporan tersebut juga, Nungsari menambah bahawa Kerajaan perlu melakukan lebih banyak untuk mengembangkan sektor ekonomi lain untuk mempelbagaikan aliran pendapatannya dan bukannya bergantung kepada wang tunai petroleum sahaja.

“Dan Petronas sendiri tidak berprestasi terbaik kerana kita terus bergantung kepadanya. Kedudukannya sebagai syarikat Fortune 500 bakal terjejas.

“Sebagai contoh, pada 2020, Petronas kerugian RM21 bilion tetapi masih perlu memberikan dividen RM34 bilion kepada Putrajaya,” kata Dr Nungsari.

Dalam laporan yang diterbitkan oleh Institut Yusof Ishak (ISEAS) bertajuk "Sektor Minyak dan Gas Malaysia: Jangkaan Berterusan Walaupun Pulangan Merosot", badan pemikir itu menggesa Putrajaya menyemak semula jangkaan mereka terhadap sektor minyak dan gas (O&G) secara amnya, khususnya Petronas.

“Walaupun jangkaan sektor O&G adalah berterusan, kemungkinan untuk memanfaatkan sumber ini tanpa henti untuk menyokong perbelanjaan awam, terus meningkatkan KDNK dan menggalakkan keusahawanan domestik semakin berkurangan.

Petronas tidak sepatutnya diganggu
“Jangkaan yang tidak berubah ini juga memberi tekanan yang besar kepada Petronas untuk terus membuat sumbangan besar kepada tabung awam.

"Melainkan dikurangkan, ini mengancam keupayaan syarikat untuk kekal berdaya maju dan kekal di barisan hadapan teknologi," kata laporan itu. 

Post a Comment

0 Comments