Selamatkan negara, Anwar janji lawan rasuah dan penyelewengan kuasa


NEGARA
akan dibersihkan daripada amalan rasuah dan salah urus tadbir kerajaan sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi mandat menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Itu janji dinyatakan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu ketika ditemubual dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di pejabatnya di Jalan Gasing, Petaling Jaya pada Khamis.

Mengulas mengenai usaha membanteras rasuah,  Presiden KEADILAN itu mengakui pihaknya bakal berdepan cabaran sangat besar untuk mendedahkan setiap perbuatan rasuah yang sudah lama berakar umbi di negara ini.

Hal ini kerana beliau menjangkakan semua pihak yang terlibat dengan kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa akan bersekongkol untuk menentang pihaknya.

“Tidak mudah kerja sebegitu. Kami hendak disuruh lawan macam mana lagi? Kami sudah cabar Perdana Menteri, tuntut supaya semua institusi penting digerakkan bagi tujuan penyiasatan kes rasuah.

“Semua institusi penting membanteras rasuah seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu buat siasatan telus.

“Tetapi kalau mengiyakan sahaja cadangan itu dan ibarat kata orang Kedah ‘Huruf Ya yang tiada titik’ atau angguk yang tidak dilaksanakan, tidak berguna. Jadi sementara kita bangkang keras, bagi saya, komitmen pelaksanaannya lebih penting,” katanya dipetik wawancara itu yang disiar oleh Sinar.

Anwar turut melihat kejayaan negara menyelesaikan isu rasuah adalah aspek fundamental yang perlu diselesaikan sebelum kerajaan memberi fokus kepada permasalahan rakyat.

Sementara itu ketika ditanya mengenai pentadbiran kerajaan HARAPAN yang mentadbir negara selama 22 bulan sebelum ini, Anwar yang tidak mempertahan sememangnya ada kelemahan dan ketelanjuran berlaku ketika itu walau bagaimanapun mengajak semua pihak memandang ke hadapan.

Jika diberi mandat kelak, Anwar menegaskan bahawa beliau sendiri bersedia mempertahankan langkah-langkah positif diambil kerajaan HARAPAN pada masa itu.

Justeru Anwar mahu semua pihak dalam HARAPAN agar bekerja lebih keras di samping berfikiran lebih terbuka dalam menilai setiap janji manifesto pilihan raya lalu sama ada ia membantu atau menekan rakyat.

“Mereka kena lihat dalam sesi debat (Datuk Seri) Saifuddin (Nasution Ismail) dan Rafizi (Ramli), (pengisian) dialog mereka ada kebenaran. Ada (polisi kerajaan HARAPAN) yang membantu dan ada yang menyukarkan rakyat.

Negara boleh diselamatkan dengan lawan rasuah
“Jadi sementara kita boleh sebut perkara positif berkenaan manifesto kerajaan HARAPAN, tetapi ada kenyataan pemimpin HARAPAN yang tolak manifesto selain usaha memperkenalkan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) tanpa berbincang dengan pihak tertentu terlebih dahulu. Tindakan itu tidak betul.

“Saya tidak mempertahankan semua keterlanjuran HARAPAN. Tetapi apa yang penting, sekiranya diberi mandat dan menang pilihan raya, kita mahu bersihkan rasuah,” ujarnya

Post a Comment

0 Comments