KETUA Setiausaha Pengelola KEADILAN Nik Nazmi Nik Ahmad menempelak kenyataan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki yang mendakwa HARAPAN 'membohong' rakyat dengan janji menghapuskan hutang peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada PRU14 lalu.
Dalam catatan Facebook semalam, Nazmi berkata, Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak membuat janji menghapuskan hutang PTPTN pada PRU lalu, sebaliknya PAS yang membuat janji sedemikian.
“Jika Asyraf ingin menuding jari berkaitan pemansuhan (hutang) PTPTN, adalah lebih baik kemarahan itu dihalakan kepada PAS, yang kini berada dalam kerajaan pusat lebih lama daripada PH.
“Andainya Asyraf mengkaji perbandingan manifesto PRU14, sudah pasti dia menemui janji PAS untuk memansuhkan terus hutang PTPTN,” katanya.
Terdahulu Asyraf mendakwa kemenangan HARAPAN pada pilihan raya yang lalu (PRU14) adalah kerana janjinya untuk menghapuskan hutang itu. Dia mendakwa mendakwa ramai termasuk 'orang Umno' yang termakan “pembohongan” tersebut.
Sementara itu, Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa menegaskan bahawa satu-satunya janji yang pernah dibuat oleh HARAPAN adalah untuk menangguhkan pembayaran sehingga graduan memperoleh pendapatan bulanan RM4,000.
“Kita mengerti PTPTN merupakan bebanan untuk graduan, lebih-lebih di Malaysia masalah gaji permulaan graduan yang rendah masih berlaku,” katanya.
Menurutnya lagi, individu yang harus bertanggungjawab berhubung isu hutang PTPTN ialah pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan, memandangkan beliau dilantik sejak HARAPAN mengambil alih pentadbiran.
“Bagi HARAPAN, orang paling utama yang perlu bertanggungjawab dalam isu ini adalah Wan Saiful Wan Jan, memandangkan beliau diberikan amanah sejak zaman HARAPAN hingga ke hari ini sebagai pengerusi PTPTN.Isu PTPTN: Asyraf dianggap salah 'tembak'
“Malangnya, bermula dari zaman HARAPAN sehingga ke hari ini, Wan Saiful dan pasukannya belum datang dengan kaedah pembayaran yang mampu membantu para graduan,” tambahnya
0 Comments