BEKAS perdana menteri, Najib Razak dibidas veteren DAP, Lim Kit Siang setelah didakwa cubaan memutar belit kenyataannya mengenai krisis ekonomi yang berlaku di Sri Lanka.
"Saya telah jangka yang ahli politik yang terdesak dan juga oportunis akan mengambil kesempatan ini, melalui pakar propaganda dan tentera siber mereka, untuk memusing dan memutarbelitkan makna dan tujuan asal kenyataan saya sebagai kononnya satu hasutan.
"Apa yang tidak dijangka adalah untuk seorang bekas perdana menteri sendiri untuk berbuat demikian," katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri membuat kenyataan di blognya bertajuk "Bolehkah Malaysia mendapatkan pengajaran dari Sri Lanka?"
Dalam tulisan itu beliau juga membangkitkan soalan: "Adakah mungkin rumah perdana menteri dan menteri-menteri di Malaysia dibakar oleh penunjuk perasaan yang marah seperti yang berlaku di Sri Lanka minggu lepas?"
Kenyataan itu menyebabkan Najib menggesa polis menyiasat Lim atas tuduhan menghasut.
Sementara itu dalam kenyataan Kit Siang menegaskan beliau tidak berniat untuk menghasut rakyat Malaysia atau menggugat ketenteraman awam, sebaliknya memberi amaran kepada negara ini agar tidak mengikut jejak langkah yang sama.
"Saya telah pun menjelaskan yang saya tidak berniat untuk menghasut untuk membawa apa-apa kejadian yang menggugat ketenteraman awam di Malaysia.
"Sebaliknya untuk memberikan amaran terhadap bahaya sekiranya kita membiarkan suasana politik dan sosio-ekonomi dalam negara untuk terus merosot seperti apa yang telah berlaku di Sri Lanka dalam setengah abad yang lepas sehingga negara tersebut menjadi sebuah negara gagal,” katanya.
Sri Lanka pada minggu lalu menyaksikan protes terhadap kerajaan meletus selepas negara itu menghadapi krisis ekonomi terburuk sejak mencapai kemerdekaan pada 1948.
Keadaan itu menyaksikan kadar inflasi meningkat dengan krisis kekurangan bekalan ubat-ubatan, bahan bakar serta barang keperluan lain.
Penunjuk perasaan membakar rumah berpuluh-puluh ahli politik, termasuk rumah keluarga Perdana Menteri Mahinda Rajapaksa dan adik lelakinya serta Presiden Gotabaya Rajapaksa.
Mahinda mengemukakan peletakan jawatannya sebagai perdana menteri pada 9 Mei lalu.
Mengulas lanjut mengenai situasi di Malaysia, Kit Siang berkata bahawa beliau percaya keadaan yang berlaku di Sri Lanka tidak akan terjadi di Malaysia pada masa ini. Sebaliknya hanya mempersoalkan apakah Malaysia sedang mengikut jejak langkah negara berkenaan.
“Perkara ini tidak akan berlaku hari ini, bulan ini, atau tahun ini, tetapi mungkinkah ia berlaku sebelum negara kita mencatatkan ulang tahunnya yang ke-100 pada 2057 atau 2063?
“Adakah kita sedang mengikuti jejak langkah Sri Lanka, yang pada suatu masa dahulu dikenali sebagai “permata” yang berpotensi tinggi membangun di Asia Selatan?”Kit Siang dakwa Najib putar belit kenyataannya
"Untuk setengah abad yang lepas, dari tahun 1970 sehingga 2020, sama ada dari segi pertumbuhan KDNK atau KDNK per kapita, Malaysia telah ditinggalkan di belakang Korea Selatan, Singapura, Indonesia, dan China, tetapi Sri Lanka mencatatkan prestasi yang lebih buruk," katanya dipetik.
0 Comments