KERAJAAN Negeri Sembilan yang ditadbir Pakatan Harapan (HARAPAN) telah berjaya menunaikan lebih 95 peratus daripada 71 manifestonya yang ditawarkan pada Pilihan Raya Umum-14 (PRU14).
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Majlis Pimpinan HARAPAN Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang berkata, sejak diberi mandat bermula 9 Mei 2018 pelbagai siri kejayaan dan pencapaian telah dinikmati.
"Tidak kurang juga pelbagai cabaran yang datang dalam usaha memartabatkan agenda rakyat. Semua ini telah berjaya dilalui hasil muafakat dan komitmen pelbagai pihak sama ada secara langsung atau tidak langsung.
"Jika hendak disenaraikan (kejayaan) satu persatu, ia terlalu banyak. Apatah lagi, belum dikira pencapaian atau insentif baharu yang yang diperkenalkan oleh kerajaan HARAPAN Negeri Sembilan yang sebelum ini tidak terkandung dalam manifestonya," katanya dalam satu kenyataan.
Menteri Besar Negeri Sembilan itu turut berkata, , antara pencapaian utama yang telah dicapai dalam tempoh empat tahun ini adalah meningkatkan pelaburan asing (FDI), RM23.51 bilion dengan lebih 17,227 peluang pekerjaan dapat ditawarkan.
"Menukar status tanah kediaman daripada pajakan kepada hak milik kekal, menaikkan elaun daripada RM900 sebulan kepada RM950 sebulan untuk 1,500 guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA), elaun bilal daripada RM200 dinaikkan kepada RM500 dan elaun siak daripada RM200 dinaikkan kepada RM450.
"Selain itu, kita telah menyelesaikan projek perumahan yang terbengkalai sejak zaman kerajaan negeri yang terdahulu di Taman Perpaduan Heights, Kuala Pilah serta tiada kenaikan cukai tanah dan cukai taksiran selama lima tahun," katanya.
Aminuddin berkata, dibawah pentadbiran HARAPAN, agenda rakyat terus diberi keutamaan dalam pentadbiran di negeri itu.
Malah melalui pembentangan belanjawan Negeri Sembilan setiap tahun menyaksikan pelbagai inisiatif yang telah diperkenalkan.
"Ia meliputi bidang tumpuan ekonomi rakyat, pendidikan, kebajikan, pemerkasaan komuniti, belia dan wanita, kerohanian dan agama, insitusi adat dan pentadbiran.
![]() |
Aminuddin ucap terima kasih atas mandat rakyat |
"Semoga segala usaha yang dilakukan demi kepentingan rakyat diterima oleh ALLAH SWT sebagai bukti pengabdian kepada-Nya dan dikurniakan Negeri Sembilan sebagai sebuah negeri yang aman makmur," ujarnya dalam kenyataan tersebut.
0 Comments