HARAPAN mampu jadi blok politik terbesar lepas PRU-15, kata Rafizi


CALON
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Rafizi Ramli membayangkan Pakatan Harapan (HARAPAN) bakal menjadi blok parti terbesar selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun tegasnya, gabungan itu perlu membuktikan keikhlasan perjuangan mereka kepada rakyat terutama pengundi atas pagar.

Bercakap semasa program Berani Semuka: Siapa Layak Bersama Anwar? yang turut menampilkan seorang lagi calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, HARAPAN perlu mendapatkan kembali lima hingga 10 peratus pengundi atas pagar yang sebelum ini mengundi gabungan itu tetapi beralih kepada Perikatan Nasional (PN).

"Berdasarkan keputusan empat siri Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini yang menyaksikan undi atas pagar HARAPAN telah beralih kepada Perikatan Nasional (PN) dan berlaku kelesuan politik melampau dari segi jumlah keluar mengundi yang diyakini mereka yang tidak keluar mengundi itu ramai dalam kalangan pengundi atas pagar HARAPAN.

"Daripada angka politik ini sebenarnya kalau kita masuk berunding (dengan parti lain) dan berlaku pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya akan datang kita hanya perlukan untuk mendapatkan kembali lima hingga 10 peratus pengundi atas pagar yang sebelum itu mengundi HARAPAN tapi beralih kepada PN.

"Kalau kita dapat lima hingga 10 peratus untuk kembali kepada HARAPAN, sebenarnya kita boleh membentuk blok parti paling besar dalam pilihan raya akan datang dalam pertandingan tiga penjuru," katanya pada program di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu.

HARAPAN perlu tarik pengundi atas pagar
Sehubungan itu, Rafizi berkata, dalam tempoh antara empat ke lima bulan atau setahun ini,HARAPAN perlu meyakinkan kembali dan membuat penyokong tegar mereka untuk kembali menyokong parti berkenaan.

"Dalam tempoh empat ke lima bulan atau setahun ini kalau kita betul-betul ikhlas dan tunjuk kita sedar kesilapan kita dan memberi isyarat yang jelas bahawa kita tidak pentingkan kedudukan," katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments