KETUA Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki menarik balik kenyataan berbaur fitnah yang dibuatnya terhadap bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Mujahid Yusof.
Noorazmir Zakaria, peguam yang mewakili Mujahid dipetik laporan media berkata, Asyraf Wajdi bersetuju untuk memadam dan menarik balik hantaran dibuatnya di Facebook pada 30 Sept 2019 bertajuk “Tabung Haji Jual RM 2.6b Ekuiti: YB Mujahid Harus Segera Beri Penjelasan”.
"Saman fitnah Mujahid terhadap Asyraf yang difailkan pada 19 Nov 2019 berhubung dengan tuduhan Asyraf Wajdi di Facebook miliknya bahawa wujudnya penjualan saham Tabung Haji (TH) di dalam syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) ketika Mujahid menjawat jawatan sebagai menteri agama," kata Noorazmir.
Perkara itu direkodkan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Akhtar Tahir, melalui prosiding penghakiman yang berlangsung semalam.
Difahamkan, dalam prosiding itu juga mahkamah turut mengarahkan Asyraf membuat hantaran bertulis di akaun Facebook miliknya berhubung dengan persetujuan untuk menarik balik kenyataan yang dianggap fitnah itu.
Asyraf Wajdi dalam kenyataan di Facebook kemudian tampil menjelaskan Mujahid yang juga naib presiden Amanah telah membuat penjelasan kepadanya yang tiada pelupusan saham TH dalam TNB ketika itu dan mereka sudah mencapai kesefahaman.
"Memandangkan isu berkenaan saham TH di dalam TNB telah diperjelaskan Mujahid dan juga selaras dengan perkembangan mutakhir yang mana isu-isu lain berkenaan aset-aset TH sedang di siasat oleh Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI), saya dengan ini menarik balik hantaran tersebut dan berharap agar Hantaran tersebut dan/atau isu pelupusan saham TH dalam TNB yang dibangkitkan di dalam hantaran tersebut tidak lagi dibangkitkan pada masa akan datang," katanya.
Sementara itu Mujahid dalam reaksinya berkata, dia berharap tiada lagi pihak yang mencetuskan kebencian serta kemarahan dalam isu Tabung Haji.
Asyraf tarik balik kenyataan di Facebook |
"Pilihan itu harus menjadi benchmark (penanda aras), bukannya berterusan dalam kebencian dan permusuhan selamanya.
"Semoga semua kita menyusuri jejak Rahmatan Lil Alamin mengambil berkat jalan Rasulullah," kata Ahli Parlimen Parit Buntar itu.
0 Comments