KEMELUT kewangan yang dihadapi Sapura Energy Bhd boleh diselesaikan tanpa bergantung kepada bailout kerajaan, kata Rafizi Ramli.
Naib Presiden KEADILAN itu melalui satu kenyataan berkata, kepimpinan Sapura Energy yang baru dilantik terdiri daripada golongan profesional ternama dan dia yakin mereka sedang mencuba yang terbaik untuk memulihkan syarikat tanpa perlu menggunakan dana awam, seperti yang dicadangkan oleh bekas perdana menteri Najib Razak.
"Oleh kerana krisis yang dialami Sapura ini bukanlah unik, kita juga tahu jalan penyelesaian yang telah diambil oleh syarikat-syarikat lain di seluruh dunia yang telah berjaya memulihkan syarikat-syarikat berkenaan.
"Di bawah kepimpinan baru Sapura yang dibarisi tokoh-tokoh profesional ternama negara, saya yakin mereka sedang berusaha sebaik mungkin untuk memulihkan Sapura tanpa mengheret dana rakyat seperti yang didesak oleh Najib," katanya.
Difahamkan kepimpinan baru Sapura Energy antara lain disertai bekas presiden Petronas, Shamsul Azhar Abbas yang dilantik sebagai pengerusi baru lembaga pengarah Sapura Energy
Shamsul disertai bekas pengerusi Shell Malaysia Mohd Anuar Taib yang pernah mengetuai perniagaan minyak dan gas huluan Petronas sebagai naib presiden eksekutifnya sebelum menyertai Sapura Energy.
Selain itu, turut serta adalah Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor yang pernah menjadi CEO Shell di rantau ini serta pengerusi Maybank dan Felda, sebelum dilantik sebagai ahli lembaga pengarah kanan Sapura Energy yang baru.
"Mereka lebih cerdik dan mempunyai kepakaran dalam bidang mereka berbanding Najib. Mereka tidak pernah mendakwa mereka bodoh sehingga boleh ditipu berbilion ringgit oleh seorang budak bernama Jho Low.
“Lebih penting, mereka dikenali sebagai profesional dan jujur. Mereka menerima permintaan Permodalan Nasional Bhd (PNB) untuk menyelamatkan Sapura Energy kerana mereka patriotik, walaupun mereka boleh bersara begitu sahaja, berbanding Najib yang tidak mahu bersara walaupun telah dijatuhkan hukuman penjara kerana merompak dana pencen rakyat
"Tenaga profesional yang dipimpin oleh tokoh-tokoh nasional yang berkepakaran ini wajar diberi ruang menjalankan amanah mereka tanpa perlu ada gangguan politik atau campur tangan.
"Saya menyeru rakyat Malaysia meletakkan harapan kita di bahu tokoh-tokoh ini, bukannya Najib yang rekod pengurusannya telah memiskinkan negara dan menyusahkan rakyat," kata Rafizi lagi.
Selain itu Rafizi menegaskan bahawa selepas meneliti dan mengenal pasti punca masalah kewangan Sapura Energy, dia dapati ia adalah kerana terlalu banyak penekanan terhadap memenangi projek untuk meningkatkan harga saham mereka yang seterusnya akan menyaksikan peningkatan dalam imbuhan pegawai eksekutif.
Namun untuk membiayai projek-projek yang mereka perolehi, katanya, Sapura Energy terus mengambil lebih banyak hutang dan akhirnya aliran tunai tidak mencukupi untuk menampung kos dan pembayaran hutang.
"Ini bukan masalah yang unik kepada Sapura. Beratus-ratus syarikat gergasi di seluruh dunia telah melalui krisis aliran tunai sebegini sejak 50 tahun yang lepas.
"Jika Najib seorang yang membaca dan mahir dalam pengurusan kewangan, sepatutnya dia pun tahu. Perangai licik Najib yang ingin mempolitikkan isu aliran tunai Sapura demi meraih sokongan rakyat sebenarnya tidak membantu usaha mereka.
![]() |
Rafizi yakin Sapura mampu diselamatkan |
Tiga daripada anak syarikat Sapura Energy telah diberikan petisyen penggulungan pada awal Mac
Najib sebelum ini menggesa agar kerajaan menyelamatkan Sapura Energy, dengan mengatakan bahawa PNB akan kerugian RM4 bilion jika syarikat itu dibiarkan muflis namun kemudian ditempelak Rafizi yang menegaskan wang rakyat tidak wajar digunakan untuk menyelamatkan syarikat koporat.
0 Comments