Tol: Ismail sebenarnya sambung dasar k'jaan HARAPAN


 


PENGUMUMAN Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengenai langkah kerajaan untuk memastikan kadar tol empat lebuh raya tidak dinaikkan sehingga tamat tempoh konsesi disambut baik Majlis Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN).

Sekalipun meraikan pengumuman itu, mereka melalui satu kenyataan berkata, apa yang diumumkan Ismail pada Isnin dalah dasar gabungan itu yang diteruskan hingga ke penghujungnya.

Ia jelas mereka merupakan kesinambungan kepada usaha yang dimulakan Kerajaan HARAPAN pada Oktober 2019, di mana Majlis Jemaah Menteri pada ketika itu memutuskan secara dasar untuk memulakan proses mengambil alih lebuh raya-lebuh raya tersebut.
 
“Ini membuktikan bahawa jika HARAPAN terus mentadbir lebih dari 22 bulan dan Langkah Sheraton tidak berlaku, pelbagai dasar yang membantu meringankan beban rakyat dapat dilaksanakan.

“Sebagai contoh, Kerajaan HARAPAN telah memulakan usaha menamatkan konsesi lebuh raya dengan mengurangkan kadar tol Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sebanyak 18% pada 2020.

"Malah, HARAPAN telah merancang untuk memberi diskaun 30% dan tol percuma selama 16 jam sehari di empat lebuh raya ini,” menurut kenyataan itu lagi.

Ismail dalam pengumuman bahawa  kadar tol di empat lebuh raya di Lembah Klang tidak akan dinaikkan dan kekal sehingga tamat tempoh konsesi berkata, keputusan itu dibuat selepas kerajaan bersetuju dengan cadangan penstrukturan semula empat syarikat konsesi lebuh raya itu.
    

Ia membabitkan Kesas Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd yang menguruskan Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Damasara-Puchong (LDP).

Sebagai rekod, pada Pada 2019, kerajaan yang diketuai HARAPAN ketika itu membekukan kenaikan kadar tol di 21 lebuh raya di seluruh negara bagi semua kelas kenderaan.

Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng berkata, keputusan dibuat itu berdasarkan kepada rasa tanggungjawab kerajaan HARAPAN untuk meringankan beban sara hidup yang dipikul rakyat.

 K'jaan HARAPAN rintis usaha tamatkan konsensi tol


Sementara itu ketika mengulas lanjut pengumuman oleh Ismail, Majlis Presiden turut menggesa kerajaan memberi diskaun tambahan kepada pengguna empat lebuh raya tersebut.


Mereka juga menuntut penjelasan kerajaan terutama dari sudut kewajipan kewangan dan ketelusan perbelanjaan terhadap kenyataan Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof bahawa Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR) menawarkan untuk membeli empat syarikat konsesi tol terbabit.

Post a Comment

0 Comments