SERAMAI 17 individu menawarkan diri bertanding untuk jawatan Naib Presiden KEADILAN, bagi penggal 2022/2025, setakat petang semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Dr Zaliha Mustafa dipetik laporan Bernama bagaimanpun berkata jumlah calon berkenaan belum muktamad memandangkan proses pencalonan bagi pimpinan utama Majlis Pimpinan Pusat (MPP) hanya akan ditutup pada 11.59 malam ini, sejak dibuka pada 9 pagi tadi.
Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari antara individu yang berminat mengisi jawatan yang memperuntukkan empat tempat itu.
Turut menawarkan diri adalah Chang Lih Kang; Pengarah Komunikasi KEADILAN yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil; Ketua Wanita KEADILAN yang juga Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dan Ketua Setiausaha Pengelola parti itu yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Bekas Pengerusi KEADILAN Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak; bekas Timbalan Pengerusi KEADILAN Perak, MA Tinagaran; Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid; Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang, G Manivannan dan ADUN Sentosa, Dr G Gunaraj turut telah mengemukakan pencalonan mereka.
Lima lagi calon bagi pemilihan itu adalah Pengerusi KEADILAN Terengganu, Azan Ismail; bekas Naib Presiden, Mustaffa Kamil Ayub; bekas Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), S Thiban; ADUN Chuah, Datuk Michael Yek Diew Ching serta ADUN Bukit Selambau, Dr R. Summugam.
Bagi jawatan presiden dan timbalan presiden, Zaliha berkata, hanya Datuk Seri Anwar Ibrahim menawarkan diri bertanding jawatan nombor satu parti itu setakat ini, manakala jawatan nombor dua parti menyaksikan dua calon menawarkan diri, iaitu Rafizi dan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
![]() |
Jawatan Naib Presiden saksikan persaingan sengit |
Untuk jawatan Ketua AMK, dua bekas aktivis mahasiswa menawarkan diri, iaitu Adam Adli Abdul Halim dan Fahmi Faizol.
Pengumuman rasmi calon yang memenangi jawatan MPP meliputi jawatan presiden, timbalan presiden, naib presiden akan diumumkan pada 26 Jun depan di Kongres Nasional Tahunan Keadilan, manakala bagi ketua wanita dan ketua AMK akan diumumkan pada 24 Jun di kongres tahunan masing-masing.
0 Comments